Sahabat Remajaku...

Thursday, October 9, 2008
Jika diperhatikan pada zaman yang berlalu, kita akan dapati akhlak remaja kian terhakis. Nilai-nilai murni dalam diri kebanyakan remaja seakan-akan sudah hilang bak debu ditiup angin lalu. Remaja melepak sini sana, pelajaran diabai entah ke mana, sifat saling menghormati sudah tiada, hidup terhina makan sampah merata ibarat manusia tiada jiwa dan akal yang sempurna. Itulah realiti kehidupan remaja alaf baru.

Ibu bapa mana yang sayangkan anaknya akan rela membiarkan hidup anak-anaknya menjadi tiada sempurna seperti kapal di tengah lautan luas , tiada hala tuju yang jelas, ditiup taufan dan dilanda ombak beraliran deras. Oleh sebab itu, walaupun ibu bapa itu tidak mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah bagi membina jati diri yang lebih mantap, mereka akan memastikan anak-anaknya terdidik dengan akhlak dan tingkah-laku mulia. Mungkin ibu dan bapa mereka ini beranggapan, biar papa akan harta, asal hidup berakhlak mulia. Bagi remaja yang hidup serba mewah, ibu bapa tidak punya masa yang banyak untuk menghabiskan masa bersama mereka kerana sibuk bekerja. Memanglah kadang-kadang kita menyatakan kerenggangan ibu bapa bersama anak-anak itu salah satu punca tertancapnya masalah sosial dalam masyarakat tetapi, seorang manusia, iaitu remaja khususnya, yang diberi pendidikan di sekolah sepatutnya boleh berfikir akan baik buruknya sesuatu perkara.

Hati remaja mana yang tidak teruja dengan hiburan-hiburan yang terhidang di hadapan mata dewasa ini? Gangstarz, Mentor, Malaysian Idol, dan lain-lain rancangan realiti televisyen yang tumbuh ibarat tumbuhnya cendawan setelah hujan berlalu ini yang menjadi kegilaan mereka. Budaya hedonisme ini semakin berakar-umbi di dalam jiwa muda-mudi masa kini. Malah, kanak-kanak bawah umur sudah terikut-ikut dengan budaya seperti ini. Kalaulah kanak-kanak pun sudah diracun fikirannya dengan budaya hedonisme, bagaimana keadaannya apabila sudah dewasa? Apakah ini peranan media massa bagi membentuk remaja berkualiti? Apakah para remaja ini tidak tahu memilih hiburan yang sesuai?

Secara dasarnya, bagi saya, Islam Hadhari adalah satu pendekatan yang bagus dalam memberi nafas baru pada ruh Islam yang kian luntur di atas muka bumi ini, khususnya di Malaysia. Saya bukanlah mahu menentang usaha-usaha kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan. Kita melihat Masjid Kristal sebagai contoh sebagai salah satu mercu tanda Islam Hadhari. Memang tidak dinafikan ia sangat indah tetapi, pada pendapat saya, apalah kiranya jika wang yang digunakan untuk membina masjid itu disalurkan bagi membentuk modal insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Pembinaan masjid yang indah tetapi tiada orang meng`imarahkannya adalah suatu yang sia-sia. Melihat pada situasi sekarang, kita perlu bijak mempertimbang perkara yang perlu diutamakan. Kemajuan dari segi fizikal tidak akan membantu bagi membentuk insan dari sudut rohaniah sekiranya kemajuan itu tidak diiringi dengan pengisian yang secukupnya.

Islam itu indah. Islam itu cukup sempurna. Islam itu adalah cara hidup yang sebenar bagi umatnya. Al-Quran diturunkan sebagai pedoman bagi setiap insan dan ia turun diiring dengan As-Sunnah sebagai pelengkap. Sesiapa yang berpegang teguh dengan dua tinggalan keramat ini, pasti hidupnya selamat di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad telah pun bersabda tentang perlunya berpegang pada dua tinggalan keramat ini.

Kepada remaja-remaja, kalaulah dikaji akhlak Nabi Muhammad, sangat indah. Nabi bersabda,
" Sesungguhnya Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak." Sesuai dengan firman Allah: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada akhlak yang baik dan agung "(QS 68:4). Pada ayat lain Allah berfirma, "Sesungguhnya dalam diri Rasulullah ada suri teladan yang baik bagi kaum (yaitu bagi siapa yang mengharap [rahmat] Allah dan [kebahagian] hari akhirat dan banyak menyebut nama Allah" [QS 33:21]). Ada segelintir yang menyatakan, "Aku bukan Nabi." Memang benar kita semua ini bukan nabi. Selepas wafatnya Nabi Muhammad, tiada lagi nabi dan rasul yang diutus Allah. Kalau ada, sah itu adalah orang yang telah terpesong aqidahnya. Cuba kita renungkan kembali, Rasul diutus untuk menyampaikan risalah Tuhan di muka bumi kepada umat manusia ke jalan yang lurus. dan semua itu bukan disampaikan dengan sia-sia. Manusia juga dikurnia akal fikiran yang sempurna untuk berfikir. Jadi, mengapa dengan akal yang ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk berfikir tentang perkara ini?

Wahai sekalian saudaraku seagama Islam, khususnya para remaja, marilah kita sucikan hati dengan bertaubat. Marilah bersama mencuci tidak noda yang bersemadi di hati kita semua agar kita dapat melihat kebenaran risalah Tuhan yang telah disampaikan kepada kita semua dari Rasul-Nya. Ingatlah bahawa, biarlah mungkin kita buta mata, tetapi jangan buta hati!...SK

Ayuh para remaja, suburkan jiwa dengan zikrullah, nyalakan semangat jihad menentang hawa nafsu yang bergejolak di dalam hati, sematkan rasa rindu akan syurga Allah. Tatapilah sejarah para Nabi, para Rasul, para sahabat, dan para tabiin sebagai idola dalam kehidupan. InsyaAllah, akan dipermudah mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini...


0 comments: