Salahuddin Al-Ayyubi 2

Friday, January 30, 2009

Mestica - Salahuddin Al-Ayyubi

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara

Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

Pernah kembara bagai pelarian
Akhiri bertakhta penuh kemuliaan
Berkurung dendam demi keamanan

Bergemalah bumi Anbia
Takbir kemenangan
Menjulang iman hapus kemungkaran

Walaupun seisi dunia
Melutut di tapak kakimu
Tetapi kau pergi tanpa sisanya untuk diwarisi

Quran Hadith terpasak di kalbumu
Syair puisi pelembut rasamu
Tinta senjata lakaran mindamu

Darah juga airmatamu
Dakwat yang mewarna
Lembaran agung insan terulung
Kau insan terulung

Jasamu Salahuddin
Bagai kasturi mewangi
Harumannya melewati
Baitul Maqdis yang suci

Walaupun jasadmu tiada
Semangatmu tetap menyala
Kekal menjadi aspirasi
Mujahid kini dan selamanya

Malammu disinar solat munajat
Siangmu dihias lonjakan jihad
Pembela insan yang miskin dan lara

Kemelut yang menyelubungi
Dalam sirah ummah
Kau ungkai dengan fatwa nubuwwah

Kaulah satria
kaulah perwira Fisabilillah
Fisabilillah!



Mestica (Layar keinsafan)~Salahuddin Al-Ayubi -

Salahuddin Al-Ayyubi

Thursday, January 29, 2009
Salahuddin Al-Ayyubi, salah satu tokoh Islam yang terkenal dengan penaklukan semula Jerusalem daripada Tentera Salib. Di barat, beliau dikenali sebagai Saladin. Banyak buku yang bercerita mengenai sejarah beliau. Malah, filem mengenainya juga pernah diterbitkan di bawah tajuk 'Kingdom of Heaven' pada tahun 2005.

***************************************

Bermula dengan ekspedisi penaklukan di Syria pada tahun 490H, Tentera Salib berjaya menakluk beberapa bandar dan tempat hingga mereka menakluk Jerusalem pada tahun 492H. Seluruh Palestin juga berjaya ditakluk. Mereka menawan semua tempat dengan membunuh para penduduk tanpa belas kasihan.Kanak-kanak kecil dihempas ke dinding dan para Yahudi dibakar hidup-hidup. Darah mengalir setinggi lutut di Masjid Umar. Reginald of Chatillon bercita-cita besar ingin menakluk Makkah dan Madinah dan ingin membongkar makam Nabi Muhammad SAW dan mengeluarkan jenazah baginda! Jatuhnya Jerusalem ketika itu menandakan malapnya sinar kuasa Islam dan kebangkitan Kristian di barat.

Usaha-usaha memerangi Tentera Salib bermula apabila 'Imaduddin Zangi mengukuhkan kuasanya di Syria dan Iraq.Beliau berjaya menakluk semula kawasan yang telah ditakluk oleh Tentera Salib. Walaubagaimanapun, usaha beliau terbantut apabila dibunuh oleh seorang hamba.Beliau kemudiaannya diganti oleh anaknya, Sultan Nuruddin Zangi.

Nama sebenar Salahuddin adalah Yusuf. Bapanya bernama Najmuddin Ayyub. Beliau dilahirkan pada 543H, 1138M di Tikrit, Iraq. Tikrit juga tempat kelahiran bekas presiden Iraq, Saddam Hussein. Sejak kecil Salahuddin diasuh oleh bapa saudaranya Asaduddin Shirkoh. Beliau diasuh dengan ilmu ketenteraan oleh bapa saudaranya dan diasuh dengan ilmu agama oleh bapanya.Bapa Salahuddin bekerja sebagai gabenor di Tikrit dan bapa saudaranya sebagai panglima tentera.

Semasa Mesir diancam serangan Tentera Salib, Sultan Nurruddin menghantar pasukan tentera bagi membantu tentera di Mesir. Panglima Asaduddin dan Salahuddin menyertai pasukan ini walaupun Salahuddin keberatan untuk meninggalkan Kota Aleppo. Ketika Tentera Salib menakluki Mesir, para penduduknya dibunuh dan para wanita diperkosa. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Syawur telah menerima rasuah daripada Tentera Salib supaya membiarkan Mesir ditakluki Tentera Salib. Syawur memberi cuti kepada para tentera dengan alasan agar menjaga keluarga masing-masing.Khalifah di Mesir ketika itu Khalifah Al-Adhid terkejut. Khalifah menitahkan agar Mesir dan Kota Fustat dipertahankan. Namun, Syawur tidak menurut perintah, malah, beliau menyuruh seluruh penduduk Kota Fustat meninggalkan kota tersebut untuk dibakar daripada ditawan Tentera Salib. Khalifah kecewa dengan tindakan ini.

Apabila pasukan tentera Asaduddin Shirkoh tiba, Tentera Salib sudah tiada kerana mereka menyangka tentera pimpinan Asaduddin tidak akan lama di Mesir dan akan merampas semula Mesir. Oleh sebab kejayaan membebaskan Mesir, Asaduddin dilantik oleh Khalifah Al-Adhid menjadi perdana menteri Mesir. Syawur berjaya dibunuh oleh Salahuddin dalam satu serbuan di rumahnya. Selepas Perdana Menteri Asaduddin Shirkoh meninggal, Salahuddin diangkat Khalifah menjadi Perdana Menteri Mesir yang baru.

Selepas kemangkatan Khalifah Al-Adhid, Salahuddin telah dilantik menjadi Khalifah. Pelantikan ini tidak dipersetujui oleh bekas-bekas pembesar yang berfahaman Syiah yang dipecat Salahuddin. Setelah menjadi sultan, semangat Salahuddin untuk berjihad semakin tinggi.

Satu ketika, Sultan Salahuddin menakluki Kota Tabariyyah. Selepas itu, pihak Tentera Salib mendapat tahu Sultan Salahuddin sudah meninggalkan Kota Tabariyyah. Pemimpin Tentera Salib mengerahkan tentera agar menuju ke Kota Tabriyyah dan meninggalkan kosong Kota Safariyyah. Namun, tentera Islam sebenarnya memasang perangkap dan mereka menuju ke Safariyyah dan memusnahkan kubu di kota tersebut. Ini membuatkan Tentera Salib tiada pilihan melainkan berperang dengan tentera Salahuddin. Tentera Salib yang berjalan di padang pasir telah kehabisan bekalan. Mereka keletihan, kehausan, dan kelaparan. Mereka terpaksa berperang dalam keadaan-keadaan ini. Maka, peperangan pun terjadi. Peperangan ini dinamakan Peperangan Hittin kerana berlaku di Bukit Hittin pada 24 Rabiul Akhir, 583H. Tentera Salib tewas dalam peperangan ini dan mayat-mayat mereka dimakan oleh burung-burung buas.

Kemenangan di medan Hittin menyemarakkan lagi semangat Sultan Salahuddin untuk menakluk Jerusalem. Selepas itu, penaklukan Jerusalem dilakukan. Kedua-dua pihak berperang bermat-matian. Pada 27 Rejab 538H, Sultan Salahuddin berjaya memasuki Kota Jerusalem. Ini menandakan kemenangan Islam ke atas Jerusalem.

***************************************

Begitulah sedikit sebanyak sejarah Salahuddin Al-Ayyubi...SK

***************************************

Rujukan yang saya gunakan adalah 2 buah buku di bawah ini dan juga filen Kingdom of Heaven. Buku yang berbahasa Inggeris itu mengandungi104 muka tetapi harganya agak mahal kerana ia adalah buku impot.

Alahai...

Balik cuti sempena Tahun Baru Cina ni sampai hari sabtu. Sebenarnya, semasa makan di dapur, mak bertanya kepada saya mahu balik ke UTM bila. Saya jawab mungkin hari khamis sebab tugasan melambak. Tuan punya badan pulang ke rumah tapi hatinya tertinggal di UTM. Kemudian di keesokan hari, saya pun pergilah ke terminal bas klang sentral untuk membeli tiket... Maka, saya membuat keputusan untuk pulang ke UTM pada hari sabtu. Pulang ke rumah, mak cuma bertanya bas pukul berapa. Saya jawab 930 pagi tanpa memberitahu bila harinya. Bagi yang belum mengetahui, terminal bas klang telah berpindah ke terminal bas Klang Sentral di Jalan Meru. Berhadapan Tesco baru di Setia Alam. Agak jauh dari terminal asal tetapi lebih dekat dengan rumah.

Pagi tadi, saya berasa pelik mengapa mak memanggil saya dan bertanya sudah mandi ke belum. Saya jawab belum. Kemudian saya turun dan membasuh tangan mahu bersarapan. Mak bertanya lagi bas pukul berapa. Saya jawab balik UTM hari sabtu! Hahaha... Adui... Salah faham. Mak sedang siapkan bekal Abah pula sedang bersiap-siap mahu menghantar saya ke terminal bas sebab biasanya abah yang hantar... Alahai, tidak mengapalah...

Tugasan yang banyak-banyak tu saya ada bawa pulang. Namun tidak dapat diselesaikan kerana mungkin saya belum lagi memahami. 3 hari 3 malam tidak siap-siap. 8 soalan saja... Adoi. Tidak apalah... Harap-harap dapat ilham menjawab soalan-soalan itu di dalam mimpi...SK

SPE-UTM Election

Wednesday, January 21, 2009
SPE-UTM adalah singkatan bagi Soceity of Petroleum Engineers UTM. Saya bertanding untuk jawatan yang diperuntukan pada 14 Januari yang lalu. Saja suka-suka mahu bertanding. Bukan apa, sejak dibuka semester yang baru, saya telah melepaskan beberapa jawatan di kelab-kelab yang saya sertai. Sekiranya tidak mempunyai jawatan dalam kelab, maka kurang la kerja saya. Apabila kerja sudah kurang, keadaan akan menjadi bosan. Bagi saya, kesibukan berpersatuan itu penting kerana apabila saya sibuk, saya akan sedaya upaya menyusun jadual dengan baik untuk membahagikan waktu belajar. Sekiranya saya tidak sibuk, saya biasanya akan hanya menonton filem ataupun tidur... Namun, Allah itu Maha Tahu segala-galanya. Saya ditakdirkan kalah. Walaubagaimanapu, sebelum hantar borang untuk bertanding sudah dibuat solat hajat. Jadi, saya hanya bertawakkal kepada-Nya... Tidak mengapa. Saya akan pastikan azam baru saya tidak terkubur dengan mudah! Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini...SK

Wireless Connection!!!

Monday, January 12, 2009
Sejak semester baru bermula, wireless connection di blok M06 KTDI UTM tidak berfungsi. Blok-blok lain elok saja. Keadaan ini memaksa saya 'mengusung' laptop ke sana dan kemari mencari tempat yang mempunyai connection. Penat... Kalau malas mahu usung, online saja di Pusat Perkhidmatan ICT Pelajar. Mahu membuat tugasan pun susah. Baru sebentar tadi membuat laporan di Pusat Perkhidmatan ICT Pelajar. 2 minggu lagi baru tahu okay atau tidak!!! Adui... Lepas Tahun Baru Cina lah nampaknye... Kasihan pelajar kurang upaya di blok saya tu. Ada yang bertopang, ada yang guna kerusi roda. Kalau saya boleh lah berlari-lari cari tempat yang ada connection tetapi mereke bagaimana? Saya bersyukur kerana diberikan kesempurnaan anggota badan yang sempurna...SK

The City of Gaza

Thursday, January 8, 2009
Seperti yang diketahui dunia, baru-baru ini Tentera Zionis Israel telah melancarkan serangan ke atas rakyat Palestin di Gaza. Operasi ketenteraan ini talah mengakibatkan kecederaan dan jumlah kematian yang sangat tinggi. Bekalan ubat-ubatan dan bekalan darah di hospital tidak cukup untuk menampung jumlah mangsa yang tercedera. Marilah wahai saudara-saudaraku, kita berdoa untuk mereka agar rakyat Palestin diberi kemenangan ke atas Tentera Zionis Laknatullah! Bantulah rakyat Palestin seberapa yang boleh. Semoga Allah membantu mereka dalam meghadapi situasi yang sulit ini. Aamin...SK

Uthmani - 2 - Sang Penakluk & Constantinople (2)

Saturday, January 3, 2009
Setelah segala persiapan ketenteraan telah disiapkan, maka, 250,000 tentera Islam Bani Uthmaniyyah pun berangkat menuju ke Constantinople. Perjalanan menuju ke Kota Constantinople mengambil masa selama 2 bulan. Mereka melalui jalan yang belum pernah dilalui oleh sesiapa bagi mengelakkan dikesan oleh musuh. Pasukan Uthmaniyyah dibahagikan kepada 5 pasukan; 4 pasukan darat dan 1 pasukan laut. Setiap pasukan terdiri daripada 50,000 orang tentera.

Pada hari Khamis 6 haribulan April 1453, keempat-empat pasukan tentera darat tiba di Constantinople. Pasukan laut yang terdiri daripada 80 buah kapal perang tidak dapat memasuki Tanduk Emas kerana dihalang oleh rantai besi yang besar. Kehadiran pasukan Uthmaniyyah di tanduk emas menjadikan Maharaja Constantine terkejut.

Kemudian, Sultan Muhammad membawa sepucuk surat kepada Maharaja Constantin melalui seorang utusan yang memberi kata dua sama ada menyerah ataupun berperang. Walaubagaimanapun, Maharaja Constantine memilih untuk berperang.Maharaja Constantine menghantar seramai 100 orang tentera di malam hari sebelum peperangan bagi memusnahkan meriam yang dicipta Urban. Namun, usaha itu gagal dan seramai 30 tentera musuh terbunuh dan yang selebihnya ditawan.

Pada keesokan paginya, peprangan pun bermula dengan dentuman meriam-meriam dari pasukan Uthmaniyyah bagi meruntuhkan tembok kota Constantinople.Pasukan musuh kemudiaannya menghantar pasukan tentera berkuda bagi memusnahkan meriam-meriam tersebut.

Oleh sebab pasukan tentera laut tidak dapat memasuki Tanduk Emas, maka Sultan Muhammad memerintahkan semua kapal perang dipindahkan melalui jalan darat pada waktu malam! Ini menyebabkan pasukan musuh terkejut bagaimana kapal-kapal pasukan Uthmani boleh melepasi rantai besi itu.

*****************

Peperangan berlarutan untuk sekian lama. Ramai tentera Islam Uthmani dan pasukan musuh yang gugur dalam pertempuran ini. Pada hari yang ke-53, maka, jatuhlah kota Constantinople ke tangan tentera Islam Uthmaniyyah. Maharaja Constantine terbunuh di dalam pertempuran ini. Maka, hadith Rasulullah SAW telah pun menjadi kenyataan.

*** Begitulah sedikit sebanyak cerita tentang Sultan Muhammad Al-Fateh... Cerita ini cukup panjang tetapi telah dipendekkan...SK