Latihan Industri (LI)

Wednesday, October 29, 2008
Sekarang ini minggu ulang kaji. Walaubagaimanapun, aku sibuk menghantar resume untuk latihan industri, terutamanya untuk memohon latihan di PETRONAS. Agak mencabar juga dalam memohon LI ini. Talian internet yang lambat membuatkan saya agak tertekan. Namun, saya tetap bersabar. Saya yakin, ada hikmah yang tersembunyi yang Allah saja tahu rahsianya. Semoga Allah memberkati usaha saya dan memberikan saya LI yang terbaik.

"Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar"...SK

Ampuni Diriku...

Thursday, October 23, 2008
Apabila kita bersahabat dan berkawan, pasti ada terlanjur bicara. Kita hanya insan biasa yang tidak terlepas daripada segala dosa-dosa. Wahai kawan-kawan, sahabat-sahabat sekalian, di kesempatan ini, saya ingin meminta maaf atas segala salah silap selama kita mengenali antara 1 sama lain. Saya tahu, kadang-kadang saya memang melampau dalam bertutur kata, terkasar perbuatan... Kepada yang pernah saya menyusahkan hidup anda, saya betul-betul minta maaf. Sebenarnya, saya 'disappeared mode' sebab saya rasa saya banyak dosa dengan orang, banyak dosa dengan Allah... Muhasabah diri. Saya mahu berubah... Kepada yang banyak membantu saya, terima kasih banyak-banyak. Kepada yang tidak dapat memaafkan saya, saya merayu agar diri ini dimaafkan. Tolong sangat-sangat... Saya betul-betul mahu berubah kepada yang lebih baik...
Ya Allah, ampuni diriku ini,
Yang sering leka dengan dosa-dosa,
Tidak kuterdaya menahan siksa-Mu,
Ya Allah pimpini diriku...

Seandainya kupergi dulu,
Kuharap keampunan seluruh semesta...SK

:: Appeared Mode - All New Alchemy ::

Wednesday, October 22, 2008
Setelah beberapa hari menghilang, saya kembali dengan blog berwajah baru!!! Menghampiri hujung semesta, saya sibuk dengan tugasan-tugasan yang perlu disiapkan. Peperiksaan akhir juga hampir tiba. Walaupun sibuk, kewajipan sebagai seorang insan bergelar hamba Allah tetap perlu diutamakan. Semoga Tuhan mempermudah urusan-urusan hidup saya dan anda sekalian. Marilah kita berdoa untuk kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Aamiin... Kepada rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang akan menghadapi peperiksaan, semoga cemerlang hendaknya. Kepada rakan-rakan yang sentiasa memberi pertolongan, mendengar rintihan saya, memberi nasihat kepada saya, terima kasih yang tidak terhingga. Allah sahaja yang dapat membalas jasa-jasa baik anda... SK

:: Disappeared Mode ::

Sunday, October 19, 2008
...............................................................................................................................................

FE & RE

Friday, October 17, 2008
Dah 2 minggu lbih kalo xsilap bergelumang dengan 2 mende nih. Pening kepale dibuatnye. Tp mesti ade yang tertanye, ape FE tu? Ape RE tu? Boleh dimakan ke? Ke name orang? FE = makcik Fatimah Enteng yang jual nasi lemak tu ke? RE = pakcik Rahman Embong sebelah rumah ke? Haha... Sbnrnye FE stands for formation evaluation and RE stands for reservoir engineering. haa... clear x? Ekceli kene buat assgmnt pasal 2 subjek ni. Saya nak kongsi dengan korang sume sesuatu yang menarik regarding these 2 subjects...

Subjek FE dipelajari utk kita detect kat mane ade hydrocarbon melalui log. Data log ni kita dpt dengan memasukkan alat ke dalam telaga yang telah digerudi. Kat bawah ni contoh header log



Sbnrnye log ni panjang lagi. Saya nk kongsi part yang best. Cube tgk 1 of the part of this log in the box.



Itu menunjukkan di dalam telaga itu terdapat gas. Kat bwah ni formula kira jumlah gas. Subjek RE pon gne rumus ni gak:

Gas in place = 43560 * A * h * Ø * (1 - Sw)/Bg


Cube tgk part ni pulak...



Ini menunjukkan terdapatnye minyak... formula kire minyak lebih kurang je dgn gas, tp ade beza sket.
Oil in place = 7758 * A * h * Ø * (1 - Sw)/Bo

Beginilah sedikit sebanyak saye kongsi ilmu pasal petroleum engineering. Kalo tak faham xpe. Saje nak share dgn korng. Kalo nak tahu lebih lanjut bleh tanye saye ataupon cr maklumat dimane saje. Sebenrnye minyak yang ade dalam perut bumi tu ade dalam batu yang berliang. Biasenye batu pasir. Batu kapur pon ade juge. Dulu saye ingat ade kolam ke bawah bawah tanah... Logiknye kalo ade kolam minyak bawah tanah, konfemla tanah yang kat atas tu tenggelam. Huhu... SK

Kesedihan dalam Kesabaran...

Wednesday, October 15, 2008

Setiap Kali...

Setiap kali mendapat nikmat,
Jarang kusedari itu pemberian-Mu,
Terkadang rasa itu kerana,
Segala usaha dan penat lelahku sahaja.

Setiap kali ditimpa musibah,
Kumengeluh risau bertambah gelisah,
Hingga terlupa pada-Mu Allah
Tempat kembali segala masalah.

Oh Tuhan, yang Maha Penyayang,
Leraikanlah Aku dari keluh-kesah,
Yang membelenggu jiwa dan fikiran,
Ditambah dengan dengan hasutan syaitan.

Kurniakanlah kepadaku ketabahan,
Singkapkanku hikmah segala ketentuan,
Moga sinar-Mu berikanku pedoman,
Hanya pada-Mu segala ketetapan.

Seandainya diri ini,
Mampu meraih cinta dan keredhaan-Mu,
Seandainya akulah insan yang terpilih,
Pimpini hidupku...

:: Citra Cinta ::

"I love u sayang..." Luah Karman. "I love u too..." balas Jijah.

Ungkapan di atas adalah contoh bagi kebanyakan insan yang bertapak di alam percintaan yang dipenuhi dengan bungan-bunga asmara. Cinta itu adalah fitrah insani yang dikurnia Tuhan kepada makhluknya. Kadang-kala cinta hadir tanpa diundang. Apabila cinta bertandang, ia sukar ditendang. Hehe...

Jika diperhatikan gelagat insan bercinta di zaman ini, kebiasaannya berlandaskan hawa nafsu semata. Jalan berkepit sini sana, tidak peduli apa orang bicara, berpakaian ketat bak bungkusan nangka, tunggang motor keliling malaysia, asal hidup bahagia bersama. Huhu... Cinta yang tidak dibatasi dengan iman dan niat yang tidak betul, beginilah hasilnya. 

Berkenaan lafaz cinta yang diungkap bagi pasangan yang dilamun cinta melalui SMS, internet atau surat secara fizikalnya tidaklah salah. Mungkin niat asal hanya ingin meluahkan rasa sahaja. Namun, apakah jaminannya ia dapat mencegah diri daripada melakukan maksiat tatkala bercinta? Hurm... bukan mudah untuk menahan nafsu tatkala iman rapuh bak kayu yang telah reput. 

Saya ingin memetik salah satu panduan atau contoh yang diberikan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Sekiranya ada seorang wanita yang ingin menyuarakan hasrat hati bahawa dia menyukai seorang lelaki, dia boleh melakukan 'tempahan' terhadap lelaki tersebut. Bagi tujuan ini, pinangan perlu dilakukan. Namun, bagi budaya melayu, ia ibarat perigi mencari timba walhal dalam Islam kaedah ini tiada salahnya. Saya pun mahu melihat kalau-kalau ada wanita yang ingin berbuat demikian. Mungkin saya tidak akan menerima tetapi apa yang saya mahu lihat adalah perigi mencari timba. Hehehehehe.... Salah satu  panduan yang lain adalah, Sabda Nabi SAW:

"Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terdapat 4 elemen untuk menyunting bunga di taman larangan dan elemen yang paling penting sekali adalah pegangan agamanya. Apalah maknanya jika rupa yang cantiktetapi berakhlak syaitan, apalah gunanya berharta mewah tetapi papa budipekerti, tiadalah maknanya berketurunan mulia hanya untuk berbangga-bangga...

Bagaimana pasangan pilihan anda? Boleh dikongsikan bersama. Wanita pilihan saya adalah, sudah tentu yang paling utama agamanya kerana, "...nescaya sejahtera hidupmu”. Senantiasa taat akan perintah Allah setiap masa dan setiap ketika. Selain itu, senang hati mata memandang. Tidak kisah rupanya bagaimana. Dia juga boleh menerima diri saya seadanya dan senantiasa menegur saya jika terdapat sesuatu tidak sepatutnya saya lakukan. Di samping itu, dia boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu dengan baik dalam apa jua keadaan apabila sudah berkahwin. Senantiasa memberi sokongan pada suami selagi si suami tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Begitulah lebih kurangnya pilihan hati saya. Hehe... Tapi... siapakah wanita yang bertuah ini? Adakah anda? Ahahaha...

Soal memilih jodoh yang ideal dalam hidup ini sangat penting kerana ia akan menentukan kebahagiaan rumah tangga seseorang. Walaubagaimanapun, memilih itu biarlah berpada-pada kerana tiada insan biasa yang sempurna di dunia ini. Apa yang boleh dilakukan adalah pasangan yang berumah tangga adalah saling membantu dalam memperbaiki kelemahan masing. Hmm... macam hebat sangat pula nak cerita benda-benda ini. Ahahaha...

Cinta yang paling agung adalah cinta kita terhadap Al-Khaliq. Jika kita mencintainya, cinta itu akan terus bersemi sampai bila-bila. Apabila kita mencintai-Nya, segala suruhannya akan kita lakukan dengan bersungguh-sungguh. Kadang-kala kita mendengar apabila pasangan bercinta bermadah,

"Akan kurenang lautan berapi demi cintaku padamu" 
"Biarpun jasadku hancur dikandung tanah, namun cintaku padamu tetap bersemi selamanya"

Walaupun hakikatnya tidak akan sanggup untuk berenang lautan berapi sedangkan terkena bara api pun tidak tertahan. Huhu... Oleh itu, marilah sematkan di dalam hati kita perasaan cinta akan Allah yang bersifat kekal...SK 

"Cinta pada bunga, kan layu akhirnya,
Cinta pada harta, kelak kan musnah binasa,
Akhirnya...
Cinta pada manusia, takkan kekal selamanya,
Cinta Ilahi, tulus suci dan abadi,
Harum mewangi...."

Rapuh

Tuesday, October 14, 2008
Kehidupan di dunia menjanjikan pelbagai sajian nikmat kurniaan Tuhan Semesta Alam yang tidak terhingga banyaknya. Walaubagaimanapun, nikmat dunia itu bukanlah sesuatu yang kekal abadi tetapi nikmat syurga itulah yang kekal abadi. Ini tidak bermaksud kita perlu untuk mengabaikan dunia untuk akhirat tetapi kita memerlukan dunia sebagai wasilah untuk menuju keakhirat. Malah, kita disuruh untuk mensyukuri segala nikmat pemberian Tuhan. Allah berfirman:

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl, ayat 144)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim 14 : 7)
Sabda Nabi:

 "Siapa yang tidak bersyukur dengan benda yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan benda yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."

(Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad pada bab Awal Musnad Ahli Kufah: Baki Hadis al-Nu'man bin Basyir r.a.)

Namun begitu, sifat manusia yang suka mengikut hawa nafsu telah menyebabkan kita lupa untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah ini dan berlebih-lebihan dalam perkara dunia. Kebanyakan kita sering lalai dan tertipu dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan tipu daya ini. Ini menyebabkan kebanyakan manusia lemas dalam arus dunia.
Saya memberi contoh seperti diri saya sendiri. Saya mengetahui perkara itu salah di sisi Allah. Oleh sebab kealpaan sebagai hamba Allah yang hidup di muka bumi ini, saya tetap melakukan perkara tersebut. Walaupun sudah banyak kali bermunajat memohon taubat, tetap mengulangi perkara yang sama. Di manakah silapnya? Selain itu juga, kadang-kala saya melihat orang lain mempunyai pakaian yang cantik, saya juga ingin pakaian yang cantik. Apabila sudah iri hati, maka pembaziran berlaku untuk perkara yang tidak sepatutnya dibelanjakan. Astaghfirullahal `Azim... Sekali lagi, di manakah silapnya.
Setelah membuat analisis, saya mendapati mungkin iman saya terlalu rapuh untuk menghadapi semua ujian ini. Padahal, seperti mana yang diketahui, Tuhan tidak akan membebankan hamba-hambanya dengan sesuatu yang tidak tertanggung. Allah berfirman:

"Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya..." (Surah Al-Baqarah, Ayat: 286)

Oleh itu, saya perlu menganalisis dengan lebih terperinci tentang punca-punca kelemahan iman saya. Walaubagaimanapun, saya berdoa kepada Allah ditetapkan iman dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Saya berdoa juga supaya dijauhkan daripada dosa-dosa besar.

Kita perlu mengetahui, iman yang sangat rapuh akan mejerumuskan diri ke lembah maksiat yang besar.  Contohnya, apabila iman lemah, kita akan mudah iri hati. Kemudian kita akan mencari apa jua cara bagi memenuhi kehendak hati seperti mencuri. Jika ada yang lebih teruk, mungkin hingga ke tahap membunuh. Na`uzubillahi Dzalik...
Oleh itu, saya menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, marilah memperbaiki diri dan jika iman kita rapuh, marilah kita kukuhkan bersama. Jangan kita leka dengan nikmat dunia yang sementara dan tidak membawa faedah langsung di akhirat. Gunakan nikmat yang diberi Tuhan sebaik yang mungkin sebagai jalan menuju ke alam yang kekal abadi. Kita perlu kembali kepada tujuan kita hidup di dunia ini, iaitu untuk beribadah kepada Allah. Tuhan tidak mahu melihat berapa banyak harta yang kita kumpul, berapa tinggi pangkat yang kita ada, tetapi Tuhan mahu melihat siapakah amalannya lebih baik. 

Proses pengislahan atau pembaikan diri memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia perlu dilakukan berperingkat-peringkat. InsyaAllah dengan berkat kesabaran dan niat yang tulus untuk berubah, pasti akan berjaya. Orang yang beriman tidak akan terbukti imannya selagi dia tidak diuji. Kita mempunyai akal untuk berfikir, maka fikirkanlah kehidupan kita di akhirat kelak. Saya menasihati kita semua agar membetulkan niat dalam kehidupan ini. Semoga Allah memberkati, merahmati, dan memakbulkan hasrat bagi insan yang mahu berubah menjadi yang lebih baik...SK

Malaysia dan Politik Semasa

Friday, October 10, 2008
8 Mac 2008, selepas solat isyak, saya pergi ke bilik kawan saya untuk menonton Tv3. Ketika itu hari sabtu, bukan mahu menonton Majalah 3, tetapi siaran langsung keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) Malaysia. Pada saya, inilah antara keputusan PRU yang paling menarik pernah saya saksikan di televisyen. Walaubagaimanapun, saya juga mengikuti keputusan PRU yang tidak rasmi di laman web Malaysiakini.com. Banyak keputusan yang yang tidak dijangka telah terhasil. Oleh sebab mengantuk, saya menonton tv hingga tertidur dan bangun semula. Walaupun siaran tamat pada pukul 3, tetapi keputusan penuh PRU 12 belum sempurna. Pada keesokan harinya saya mengikuti perkembangan PRU 12 di internet.

Keputusan yang boleh dikatakan menarik sepanjang perjalanan PRU di Malaysia. Tsunami politik telah berlaku di mana 5 negeri telah ditawan oleh parti pembangkang atas nama Pakatan Rakyat (PR). Ia mengakibatkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti 2/3. Terdapat parti-parti komponen BN yang hampir kalah di semua kerusi dan ada juga yang kalah dalam semua kerusi yang ditandingi.

7 bulan sudah berlalu selepas PRU 12 berakhir. Dengan 82 orang pembangkang yang menduduki kerusi parlimen daripada 222 kerusi, ia menjadi satu sejarah yang terukir dalam perjalanan sejarah Malaysia. Namun, kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh 7 bulan ini. Saya tidak tahu apa lagi perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai rakyat Malaysia, saya mengharapkan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera dengan limpahan rahmat dan berkat daripada Allah Ta'ala.

Risau betul mengenang masa depan yang tidak siapa ketahui kecuali Allah... huhu...SK

Emas Hitam

Emas hitam boleh juga dirujuk sebagai minyak. Bukan minyak gamat, minyak urut, minyak sapi, minyak bijan, dan sebagainya tetapi yang dimaksudkan adalah minyak yang terhasil daripada galian petroleum. Mengapa emas hitam? Kerana minyak adalah antara benda yang sangat berharga sebagaimana kita tahu betapa berharganya emas. Lebih kurang begitulah analoginya. Suka saya mahu bercerita topik ini sebab saya mengambil kursus kejuruteraan petroleum.

Seperti yang umum ketahui, produk daripada petroleum ini banyak kegunaannya terutamanya petrol dan diesel yang digunakan sebagai bahan bakar bagi kenderaan. Pergi sajalah ke mana-mana pun, semua kenderaan menggunakan produk-produk daripada petroleum ini.

Ketika Jun 2008, harga minyak global hampir mencecah USD150 setong ( 1 tong = 42 gelen = 1.589873 x 10^5 cm^3). Kenaikan harga minyak global ini menyebabkan banyak negara di seluruh dunia menaikkan harga minyak bagi menampung kesan kenaikan harga global ini. Kalau kita melihat Malaysia, kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen/liter atau 40% daripada harga asal ketika itu.

Menurut pengetahuan saya yang tidak seberapa ini, perkembangan industri di China dan India terutamanya berkembang dengan deras mengakibatkan permintaan bahan bakar ini semakin meningkat. Kalau permintaan sudah banyak, maka harga pun naik. Sebab yang lain adalah tersebarnya spekulasi-spekulasi yang negatif tentang sesuatu perkara yang menyebabkan harga minyak melambung. Kadang-kala ia sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan banyak negara terpaksa menaikkan harga minyak domestik dan memberi kesan kepada kadar inflasi di negara masing-masing terutamanya negara-negara yang mundur dan mengalami masalah ekonomi. Sudahlah negara miskin, harga barang naik pula bukan 1 sen, penderitaan datang 'berbesin-besin' . Sungguh kejam mereka yang tamak itu.

Kalau kita melihat senario di Malaysia ketika harga minyak naik mendadak, orang mahu membeli kereta pun fikir banyak kali. Elok-elok mahu beli Persona, terpaksa membeli Kelisa, second-hand pula tu. Ada juga yang beralih ke pengangkutan awam. Kesannya penggunaan pengangkutan awam pun naik mendadak. Apabila harga minyak naik, biasanya satu 'tindakbalas berantai' akan berlaku. Harga barangan lain turut naik... Orang miskin yang selama ini berjimat-cermat pun sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dijimatkan. Pinggang-pinggang mereka semakin ramping. Tidak perlu pergi ke spa ataupun menggunakan produk-produk kecantikan. Sangat efektif pula tu.

Saya teringat kata-kata Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican, terdapat pekerja-pekerja Petronas yang kadang-kadang dipersalahkan atas kenaikan harga minyak. Kasihan... Saya terfikir, inikah nasib saya pada masa akan datang??? Kita perlu tahu, turun naiknya harga minyak domestik bukannya ditentukan oleh Petronas. Petronas hanya diamanahkan untuk mengurus petroleum negara sahaja. Kerajaanlah yang berkuasa menaikkan harga minyak mengikut keadaan semasa kerana dikatakan tidak dapat menampung beban subsidi minyak yang tinggi. Sekiranya subsidi hanya ditumpukan pada minyak sahaja, peruntukan untuk pembangunan, pendidikan, pertanian, dan lain-lain akan berkurangan dan memberi kesan kepada pembangunan negara. Begitulah lebih kurangnya penjelasan kerajaan.

Jadi, kalau kita mahu bukan saja harga minyak terkawal, malah juga barang lain-lain terkawal, kita, terutamanya umat Islam perlulah kembali kepada Ad-dinul Islam. Kembalikan Daulah Islamiyyah supaya kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang berteraskan Islam yang senantiasa membela keadilan sejagat. Walaubagaimanapun, ia bukanlah suatu yang mudah. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam sekarang adalah kita perlu bersatu hati, hindarkan persengketaan sesama kita yang menyebabkab kita menjadi lemah. Sekarang bukanlah masanya untuk kita perjuangkan hukum-hukum Hudud sebagai contoh. Bukanlah saya ingin menentang hukum-hukum ini kerana ini adalah hukum daripada Allah Rab Sekalian Alam. Apa yang perlu diutamakan pada waktu ini adalah dengan memberi kefahaman tentang Islam dengan sebaik-baiknya sama ada untuk umat Islam itu sendiri ataupun kepada bukan Islam juga. Ini untuk mengelakkan fitnah dan juga salah tanggap tentang Islam... Begitulah lebih kurangnya pendapat Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam nukilannya Fiqh Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan)...SK

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya." (QS 3:103)


Sahabat Remajaku...

Thursday, October 9, 2008
Jika diperhatikan pada zaman yang berlalu, kita akan dapati akhlak remaja kian terhakis. Nilai-nilai murni dalam diri kebanyakan remaja seakan-akan sudah hilang bak debu ditiup angin lalu. Remaja melepak sini sana, pelajaran diabai entah ke mana, sifat saling menghormati sudah tiada, hidup terhina makan sampah merata ibarat manusia tiada jiwa dan akal yang sempurna. Itulah realiti kehidupan remaja alaf baru.

Ibu bapa mana yang sayangkan anaknya akan rela membiarkan hidup anak-anaknya menjadi tiada sempurna seperti kapal di tengah lautan luas , tiada hala tuju yang jelas, ditiup taufan dan dilanda ombak beraliran deras. Oleh sebab itu, walaupun ibu bapa itu tidak mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah bagi membina jati diri yang lebih mantap, mereka akan memastikan anak-anaknya terdidik dengan akhlak dan tingkah-laku mulia. Mungkin ibu dan bapa mereka ini beranggapan, biar papa akan harta, asal hidup berakhlak mulia. Bagi remaja yang hidup serba mewah, ibu bapa tidak punya masa yang banyak untuk menghabiskan masa bersama mereka kerana sibuk bekerja. Memanglah kadang-kadang kita menyatakan kerenggangan ibu bapa bersama anak-anak itu salah satu punca tertancapnya masalah sosial dalam masyarakat tetapi, seorang manusia, iaitu remaja khususnya, yang diberi pendidikan di sekolah sepatutnya boleh berfikir akan baik buruknya sesuatu perkara.

Hati remaja mana yang tidak teruja dengan hiburan-hiburan yang terhidang di hadapan mata dewasa ini? Gangstarz, Mentor, Malaysian Idol, dan lain-lain rancangan realiti televisyen yang tumbuh ibarat tumbuhnya cendawan setelah hujan berlalu ini yang menjadi kegilaan mereka. Budaya hedonisme ini semakin berakar-umbi di dalam jiwa muda-mudi masa kini. Malah, kanak-kanak bawah umur sudah terikut-ikut dengan budaya seperti ini. Kalaulah kanak-kanak pun sudah diracun fikirannya dengan budaya hedonisme, bagaimana keadaannya apabila sudah dewasa? Apakah ini peranan media massa bagi membentuk remaja berkualiti? Apakah para remaja ini tidak tahu memilih hiburan yang sesuai?

Secara dasarnya, bagi saya, Islam Hadhari adalah satu pendekatan yang bagus dalam memberi nafas baru pada ruh Islam yang kian luntur di atas muka bumi ini, khususnya di Malaysia. Saya bukanlah mahu menentang usaha-usaha kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan. Kita melihat Masjid Kristal sebagai contoh sebagai salah satu mercu tanda Islam Hadhari. Memang tidak dinafikan ia sangat indah tetapi, pada pendapat saya, apalah kiranya jika wang yang digunakan untuk membina masjid itu disalurkan bagi membentuk modal insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Pembinaan masjid yang indah tetapi tiada orang meng`imarahkannya adalah suatu yang sia-sia. Melihat pada situasi sekarang, kita perlu bijak mempertimbang perkara yang perlu diutamakan. Kemajuan dari segi fizikal tidak akan membantu bagi membentuk insan dari sudut rohaniah sekiranya kemajuan itu tidak diiringi dengan pengisian yang secukupnya.

Islam itu indah. Islam itu cukup sempurna. Islam itu adalah cara hidup yang sebenar bagi umatnya. Al-Quran diturunkan sebagai pedoman bagi setiap insan dan ia turun diiring dengan As-Sunnah sebagai pelengkap. Sesiapa yang berpegang teguh dengan dua tinggalan keramat ini, pasti hidupnya selamat di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad telah pun bersabda tentang perlunya berpegang pada dua tinggalan keramat ini.

Kepada remaja-remaja, kalaulah dikaji akhlak Nabi Muhammad, sangat indah. Nabi bersabda,
" Sesungguhnya Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak." Sesuai dengan firman Allah: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada akhlak yang baik dan agung "(QS 68:4). Pada ayat lain Allah berfirma, "Sesungguhnya dalam diri Rasulullah ada suri teladan yang baik bagi kaum (yaitu bagi siapa yang mengharap [rahmat] Allah dan [kebahagian] hari akhirat dan banyak menyebut nama Allah" [QS 33:21]). Ada segelintir yang menyatakan, "Aku bukan Nabi." Memang benar kita semua ini bukan nabi. Selepas wafatnya Nabi Muhammad, tiada lagi nabi dan rasul yang diutus Allah. Kalau ada, sah itu adalah orang yang telah terpesong aqidahnya. Cuba kita renungkan kembali, Rasul diutus untuk menyampaikan risalah Tuhan di muka bumi kepada umat manusia ke jalan yang lurus. dan semua itu bukan disampaikan dengan sia-sia. Manusia juga dikurnia akal fikiran yang sempurna untuk berfikir. Jadi, mengapa dengan akal yang ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk berfikir tentang perkara ini?

Wahai sekalian saudaraku seagama Islam, khususnya para remaja, marilah kita sucikan hati dengan bertaubat. Marilah bersama mencuci tidak noda yang bersemadi di hati kita semua agar kita dapat melihat kebenaran risalah Tuhan yang telah disampaikan kepada kita semua dari Rasul-Nya. Ingatlah bahawa, biarlah mungkin kita buta mata, tetapi jangan buta hati!...SK

Ayuh para remaja, suburkan jiwa dengan zikrullah, nyalakan semangat jihad menentang hawa nafsu yang bergejolak di dalam hati, sematkan rasa rindu akan syurga Allah. Tatapilah sejarah para Nabi, para Rasul, para sahabat, dan para tabiin sebagai idola dalam kehidupan. InsyaAllah, akan dipermudah mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini...


Kawan Lama

Thursday, October 2, 2008

Raya pertama, waktu malam, pada kebiasaannya aku akan beraya ke rumah saudara-saudaraku yang lain. Walaubagaimanapun, Tuhan mentaqdirkan aku beraya ke rumah rakan-rakan lama. Setelah 2-3 tahun tidak bersua, macam-macam cerita. 3 rumah saje tapi sembang sampai 1 pagi. kalau diikutkan hati, ingin saja disambung hingga ke subuh. Walau apa pun, beraya kene berpada-pada. Tuan rumah mahu tidur, jadi faham-faham sajalah. Balik rumah! Ahahaha.... Memang tidak dijangkakan untuk beraya di rumah kawan pada malam raya pertama. Aku sangat gembira sebab sudah lama tidak mendengar khabar mereka. Sebenarnya aku sudah kehilangan khabar berita kawan-kawan aku yang dahulu sama-sama sekolah rendah. Kalau boleh mahu saja mencari mereka semua!

Budaya kunjung-mengunjung di hari raya memang sesuatu yang baik. Ia dapat mengeratkan silaturrahim ukhwah sesama manusia. Apatah lagi bagi mereka yang telah lama terpisah dan bertemu kembali. Lagipun, sudah berapa tidak beraya ke rumah kawan-kawan disebabkan cuti raya yang singkat, berjauhan di luar negara, dan sebagainya.

Islam memang menitikberatkan soal persaudaraan. Sabda Nabi SAW,

'Jangan kamu memutuskan hubungan, tidak bertegur sapa, membenci dan berhasad dengki. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Islam tidak menegur saudaranya lebih daripada tiga hari.'
(Riwayat al-Bukhari)

Lebih-lebih lagi umat Islam di zaman sekarang, kita perlu bersatu dalam mengharungi detik-detik zaman yang penuh dengan pelbagai fitnah. Musuh-musuh Islam sentiasa mencari-cari peluang bagi menghancurkan umat Islam. Kita mungkin mempunyai pelbagai pendapat dalam sesuatu perkara akan tetapi kita berkongsi asas Aqidah yang sama. Oleh itu, marilah kita bersatu demi Islam yang tercinta. Marilah bersama menginsaf diri, marilah kita bersatu!...SK

Setanggi Kasih
Album : Qiblat
Munsyid : Rabbani
http://liriknasyid.com


Mari kita nyalakan setanggi kasih yang mewangi
Di seluruh semesta pada sepanjang kembara
Kita akan temui bunga-bunga kebaikan
Hulurkan salam
Bersyukur kepada Tuhan

Hindari kejahatan dengan satu kebaikan
Agar kau kan rasa erti kemanisan iman
Ini setanggi kasih di persada cinta Tuhan
Suburkan cinta kita sesama insan

Tiada selain Tuhan berkuasa mendamaikan
Tiada selain Tuhan yang dapat menyatukan
Pasti kau temui nanti duri-duri permusuhan (kejahatan)
Hadapilah segalanya dengan kesabaran
Dan tempuhilah rintangan dengan keyakinan

Mari kita padamkan nyalaan benci yang membakar
Di sepenuh buana pada seluruh manusia
Kita akan sedari titik-titik persamaan
Taburkan damai
Bersyukur kepada insan

Hindari kejahatan dengan satu kebaikan
Agar kau kan rasa erti kemanisan iman
Ini setanggi kasih di persada cinta Tuhan
Suburkan cinta kita sesama insan

Hulurkan salam
Bersyukur kepada Tuhan


Kesyukuran dalam Kemeriahan

Wednesday, October 1, 2008
Allahu Akbar (3x) Laailaaha Illallahu Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillaahilhamd.

Bergema takbir di subuh yang hening, menandakan Syawal sudah pun menjelang. Umat Islam beramai-ramai menunaikan solat sunat `idulfitri di masjid-masjid dan surau-surau. Kehadiran Syawal juga menandakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadhan selama sebulan. Semoga amalan kita diterima di sisi Allah Subhanahuwa Ta`ala. InsyaAllah.
Namun, dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, rasa syukur perlu kita panjatkan kepada Allah Subhanahuwa Ta`ala kerana kita masih dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah. Ketupat, lemang, rendang, dan pelbagai lagi juadah hari raya yang menyelerakan. Kesyukuran itu penting kerana Allah SWT telah berfirman:

"Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan lagi, dan jika kamu berlaku kufur ke atas nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih"

Banyak lagi saudara kita yang hidup serba kekurangan. Makan minum tidak cukup, hidup di dalam suasana peperangan, dan pelbagai lagi keadaan yang menyayat hati. Kadang-kala, dengan kesombongan dan keegoan diri kita, kita membiarkan jiran-jiran kita yang tidak punya cukup makan dan minum berada dalam keadaan yang sengsara. Kita bergembira, ceria, dan meriah dengan pakaian baru, langsir baru, sofa baru, dan pelbagai lagi hiasan-hiasan yang serba baru, tetapi jiran-jiran kita hanya beraya seadanya. Di manakah letaknya sifat belas dan ikatan persaudaraan kita??

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Tuhan Pentadbir Sekalian `Alam. Semoga Syawal ini kita raikan dengan kemeriahan diiringi limpahan keberkatan daripada-Nya...SK

SALAM LEBARAN

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Joget Lebaran

Indahnya kembang mawar merah merona,
Di dalam dinginnya embun subuh hari,
Sehingga fajar syawal yang menjelma,
Gema takbir memuji Ilahi.

Alangkah meriahnya di hari raya,
Sama raikan lebaran yang mulia,
Syukur dan puji pada Maha Esa,
Atas segala limpahan rahmat serta nikmat-Nya.

Di dalam asyik bergurau senda,
Tetap bersantun batasnya dijaga,
Semoga keberkatan di Aidilfitri,
Tetap terpelihara dan dirahmati.

Pada yang tua kita hormati,
Kepada yang muda kita kasihi,
Lupakan dendam atau yang terguris hati,
Sama ceria di Aidilfitri.

Rakan dan teman saling kunjung-kujungan,
Sama nikmati juadah yang terhidang,

Manisnya senyuman ayah dan bonda,
Menyambut anak pulang ke desa berhari raya.

**[ Salam murni hulurkan,
Dalam kuntum senyuman,
Bersama bermaafan,
Tiada dendam yang tersimpan ]

Begitulah layaknya insan bersaudara,
Saling bahagia dan bermesra.

Dalam bergembira
Jangan dilupa fakir yang kekurangan,
Dan adatnya bertetangga
Sama ringankan bebanan dan tanggungan,
Semoga mereka juga dapat bersama,
Raikan syawal yang mulia.

[ Beginilah suasana hari raya,
Di sini sana wajah penuh ceria ]

Syukur dan puji pada Maha Esa,
Atas segala limpahan rahmat serta nikmat-Nya.

(Ulang **)