Rapuh

Tuesday, October 14, 2008
Kehidupan di dunia menjanjikan pelbagai sajian nikmat kurniaan Tuhan Semesta Alam yang tidak terhingga banyaknya. Walaubagaimanapun, nikmat dunia itu bukanlah sesuatu yang kekal abadi tetapi nikmat syurga itulah yang kekal abadi. Ini tidak bermaksud kita perlu untuk mengabaikan dunia untuk akhirat tetapi kita memerlukan dunia sebagai wasilah untuk menuju keakhirat. Malah, kita disuruh untuk mensyukuri segala nikmat pemberian Tuhan. Allah berfirman:

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl, ayat 144)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim 14 : 7)
Sabda Nabi:

 "Siapa yang tidak bersyukur dengan benda yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan benda yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."

(Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad pada bab Awal Musnad Ahli Kufah: Baki Hadis al-Nu'man bin Basyir r.a.)

Namun begitu, sifat manusia yang suka mengikut hawa nafsu telah menyebabkan kita lupa untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah ini dan berlebih-lebihan dalam perkara dunia. Kebanyakan kita sering lalai dan tertipu dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan tipu daya ini. Ini menyebabkan kebanyakan manusia lemas dalam arus dunia.
Saya memberi contoh seperti diri saya sendiri. Saya mengetahui perkara itu salah di sisi Allah. Oleh sebab kealpaan sebagai hamba Allah yang hidup di muka bumi ini, saya tetap melakukan perkara tersebut. Walaupun sudah banyak kali bermunajat memohon taubat, tetap mengulangi perkara yang sama. Di manakah silapnya? Selain itu juga, kadang-kala saya melihat orang lain mempunyai pakaian yang cantik, saya juga ingin pakaian yang cantik. Apabila sudah iri hati, maka pembaziran berlaku untuk perkara yang tidak sepatutnya dibelanjakan. Astaghfirullahal `Azim... Sekali lagi, di manakah silapnya.
Setelah membuat analisis, saya mendapati mungkin iman saya terlalu rapuh untuk menghadapi semua ujian ini. Padahal, seperti mana yang diketahui, Tuhan tidak akan membebankan hamba-hambanya dengan sesuatu yang tidak tertanggung. Allah berfirman:

"Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya..." (Surah Al-Baqarah, Ayat: 286)

Oleh itu, saya perlu menganalisis dengan lebih terperinci tentang punca-punca kelemahan iman saya. Walaubagaimanapun, saya berdoa kepada Allah ditetapkan iman dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Saya berdoa juga supaya dijauhkan daripada dosa-dosa besar.

Kita perlu mengetahui, iman yang sangat rapuh akan mejerumuskan diri ke lembah maksiat yang besar.  Contohnya, apabila iman lemah, kita akan mudah iri hati. Kemudian kita akan mencari apa jua cara bagi memenuhi kehendak hati seperti mencuri. Jika ada yang lebih teruk, mungkin hingga ke tahap membunuh. Na`uzubillahi Dzalik...
Oleh itu, saya menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, marilah memperbaiki diri dan jika iman kita rapuh, marilah kita kukuhkan bersama. Jangan kita leka dengan nikmat dunia yang sementara dan tidak membawa faedah langsung di akhirat. Gunakan nikmat yang diberi Tuhan sebaik yang mungkin sebagai jalan menuju ke alam yang kekal abadi. Kita perlu kembali kepada tujuan kita hidup di dunia ini, iaitu untuk beribadah kepada Allah. Tuhan tidak mahu melihat berapa banyak harta yang kita kumpul, berapa tinggi pangkat yang kita ada, tetapi Tuhan mahu melihat siapakah amalannya lebih baik. 

Proses pengislahan atau pembaikan diri memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia perlu dilakukan berperingkat-peringkat. InsyaAllah dengan berkat kesabaran dan niat yang tulus untuk berubah, pasti akan berjaya. Orang yang beriman tidak akan terbukti imannya selagi dia tidak diuji. Kita mempunyai akal untuk berfikir, maka fikirkanlah kehidupan kita di akhirat kelak. Saya menasihati kita semua agar membetulkan niat dalam kehidupan ini. Semoga Allah memberkati, merahmati, dan memakbulkan hasrat bagi insan yang mahu berubah menjadi yang lebih baik...SK

0 comments: