Kesyukuran dalam Kemeriahan

Wednesday, October 1, 2008
Allahu Akbar (3x) Laailaaha Illallahu Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillaahilhamd.

Bergema takbir di subuh yang hening, menandakan Syawal sudah pun menjelang. Umat Islam beramai-ramai menunaikan solat sunat `idulfitri di masjid-masjid dan surau-surau. Kehadiran Syawal juga menandakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah menempuh Ramadhan selama sebulan. Semoga amalan kita diterima di sisi Allah Subhanahuwa Ta`ala. InsyaAllah.
Namun, dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, rasa syukur perlu kita panjatkan kepada Allah Subhanahuwa Ta`ala kerana kita masih dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah. Ketupat, lemang, rendang, dan pelbagai lagi juadah hari raya yang menyelerakan. Kesyukuran itu penting kerana Allah SWT telah berfirman:

"Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan lagi, dan jika kamu berlaku kufur ke atas nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih"

Banyak lagi saudara kita yang hidup serba kekurangan. Makan minum tidak cukup, hidup di dalam suasana peperangan, dan pelbagai lagi keadaan yang menyayat hati. Kadang-kala, dengan kesombongan dan keegoan diri kita, kita membiarkan jiran-jiran kita yang tidak punya cukup makan dan minum berada dalam keadaan yang sengsara. Kita bergembira, ceria, dan meriah dengan pakaian baru, langsir baru, sofa baru, dan pelbagai lagi hiasan-hiasan yang serba baru, tetapi jiran-jiran kita hanya beraya seadanya. Di manakah letaknya sifat belas dan ikatan persaudaraan kita??

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Tuhan Pentadbir Sekalian `Alam. Semoga Syawal ini kita raikan dengan kemeriahan diiringi limpahan keberkatan daripada-Nya...SK

SALAM LEBARAN

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Joget Lebaran

Indahnya kembang mawar merah merona,
Di dalam dinginnya embun subuh hari,
Sehingga fajar syawal yang menjelma,
Gema takbir memuji Ilahi.

Alangkah meriahnya di hari raya,
Sama raikan lebaran yang mulia,
Syukur dan puji pada Maha Esa,
Atas segala limpahan rahmat serta nikmat-Nya.

Di dalam asyik bergurau senda,
Tetap bersantun batasnya dijaga,
Semoga keberkatan di Aidilfitri,
Tetap terpelihara dan dirahmati.

Pada yang tua kita hormati,
Kepada yang muda kita kasihi,
Lupakan dendam atau yang terguris hati,
Sama ceria di Aidilfitri.

Rakan dan teman saling kunjung-kujungan,
Sama nikmati juadah yang terhidang,

Manisnya senyuman ayah dan bonda,
Menyambut anak pulang ke desa berhari raya.

**[ Salam murni hulurkan,
Dalam kuntum senyuman,
Bersama bermaafan,
Tiada dendam yang tersimpan ]

Begitulah layaknya insan bersaudara,
Saling bahagia dan bermesra.

Dalam bergembira
Jangan dilupa fakir yang kekurangan,
Dan adatnya bertetangga
Sama ringankan bebanan dan tanggungan,
Semoga mereka juga dapat bersama,
Raikan syawal yang mulia.

[ Beginilah suasana hari raya,
Di sini sana wajah penuh ceria ]

Syukur dan puji pada Maha Esa,
Atas segala limpahan rahmat serta nikmat-Nya.

(Ulang **)



0 comments: