Emas Hitam

Friday, October 10, 2008
Emas hitam boleh juga dirujuk sebagai minyak. Bukan minyak gamat, minyak urut, minyak sapi, minyak bijan, dan sebagainya tetapi yang dimaksudkan adalah minyak yang terhasil daripada galian petroleum. Mengapa emas hitam? Kerana minyak adalah antara benda yang sangat berharga sebagaimana kita tahu betapa berharganya emas. Lebih kurang begitulah analoginya. Suka saya mahu bercerita topik ini sebab saya mengambil kursus kejuruteraan petroleum.

Seperti yang umum ketahui, produk daripada petroleum ini banyak kegunaannya terutamanya petrol dan diesel yang digunakan sebagai bahan bakar bagi kenderaan. Pergi sajalah ke mana-mana pun, semua kenderaan menggunakan produk-produk daripada petroleum ini.

Ketika Jun 2008, harga minyak global hampir mencecah USD150 setong ( 1 tong = 42 gelen = 1.589873 x 10^5 cm^3). Kenaikan harga minyak global ini menyebabkan banyak negara di seluruh dunia menaikkan harga minyak bagi menampung kesan kenaikan harga global ini. Kalau kita melihat Malaysia, kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen/liter atau 40% daripada harga asal ketika itu.

Menurut pengetahuan saya yang tidak seberapa ini, perkembangan industri di China dan India terutamanya berkembang dengan deras mengakibatkan permintaan bahan bakar ini semakin meningkat. Kalau permintaan sudah banyak, maka harga pun naik. Sebab yang lain adalah tersebarnya spekulasi-spekulasi yang negatif tentang sesuatu perkara yang menyebabkan harga minyak melambung. Kadang-kala ia sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan banyak negara terpaksa menaikkan harga minyak domestik dan memberi kesan kepada kadar inflasi di negara masing-masing terutamanya negara-negara yang mundur dan mengalami masalah ekonomi. Sudahlah negara miskin, harga barang naik pula bukan 1 sen, penderitaan datang 'berbesin-besin' . Sungguh kejam mereka yang tamak itu.

Kalau kita melihat senario di Malaysia ketika harga minyak naik mendadak, orang mahu membeli kereta pun fikir banyak kali. Elok-elok mahu beli Persona, terpaksa membeli Kelisa, second-hand pula tu. Ada juga yang beralih ke pengangkutan awam. Kesannya penggunaan pengangkutan awam pun naik mendadak. Apabila harga minyak naik, biasanya satu 'tindakbalas berantai' akan berlaku. Harga barangan lain turut naik... Orang miskin yang selama ini berjimat-cermat pun sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dijimatkan. Pinggang-pinggang mereka semakin ramping. Tidak perlu pergi ke spa ataupun menggunakan produk-produk kecantikan. Sangat efektif pula tu.

Saya teringat kata-kata Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican, terdapat pekerja-pekerja Petronas yang kadang-kadang dipersalahkan atas kenaikan harga minyak. Kasihan... Saya terfikir, inikah nasib saya pada masa akan datang??? Kita perlu tahu, turun naiknya harga minyak domestik bukannya ditentukan oleh Petronas. Petronas hanya diamanahkan untuk mengurus petroleum negara sahaja. Kerajaanlah yang berkuasa menaikkan harga minyak mengikut keadaan semasa kerana dikatakan tidak dapat menampung beban subsidi minyak yang tinggi. Sekiranya subsidi hanya ditumpukan pada minyak sahaja, peruntukan untuk pembangunan, pendidikan, pertanian, dan lain-lain akan berkurangan dan memberi kesan kepada pembangunan negara. Begitulah lebih kurangnya penjelasan kerajaan.

Jadi, kalau kita mahu bukan saja harga minyak terkawal, malah juga barang lain-lain terkawal, kita, terutamanya umat Islam perlulah kembali kepada Ad-dinul Islam. Kembalikan Daulah Islamiyyah supaya kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang berteraskan Islam yang senantiasa membela keadilan sejagat. Walaubagaimanapun, ia bukanlah suatu yang mudah. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam sekarang adalah kita perlu bersatu hati, hindarkan persengketaan sesama kita yang menyebabkab kita menjadi lemah. Sekarang bukanlah masanya untuk kita perjuangkan hukum-hukum Hudud sebagai contoh. Bukanlah saya ingin menentang hukum-hukum ini kerana ini adalah hukum daripada Allah Rab Sekalian Alam. Apa yang perlu diutamakan pada waktu ini adalah dengan memberi kefahaman tentang Islam dengan sebaik-baiknya sama ada untuk umat Islam itu sendiri ataupun kepada bukan Islam juga. Ini untuk mengelakkan fitnah dan juga salah tanggap tentang Islam... Begitulah lebih kurangnya pendapat Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam nukilannya Fiqh Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan)...SK

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya." (QS 3:103)


0 comments: