Salahuddin Al-Ayyubi

Thursday, January 29, 2009
Salahuddin Al-Ayyubi, salah satu tokoh Islam yang terkenal dengan penaklukan semula Jerusalem daripada Tentera Salib. Di barat, beliau dikenali sebagai Saladin. Banyak buku yang bercerita mengenai sejarah beliau. Malah, filem mengenainya juga pernah diterbitkan di bawah tajuk 'Kingdom of Heaven' pada tahun 2005.

***************************************

Bermula dengan ekspedisi penaklukan di Syria pada tahun 490H, Tentera Salib berjaya menakluk beberapa bandar dan tempat hingga mereka menakluk Jerusalem pada tahun 492H. Seluruh Palestin juga berjaya ditakluk. Mereka menawan semua tempat dengan membunuh para penduduk tanpa belas kasihan.Kanak-kanak kecil dihempas ke dinding dan para Yahudi dibakar hidup-hidup. Darah mengalir setinggi lutut di Masjid Umar. Reginald of Chatillon bercita-cita besar ingin menakluk Makkah dan Madinah dan ingin membongkar makam Nabi Muhammad SAW dan mengeluarkan jenazah baginda! Jatuhnya Jerusalem ketika itu menandakan malapnya sinar kuasa Islam dan kebangkitan Kristian di barat.

Usaha-usaha memerangi Tentera Salib bermula apabila 'Imaduddin Zangi mengukuhkan kuasanya di Syria dan Iraq.Beliau berjaya menakluk semula kawasan yang telah ditakluk oleh Tentera Salib. Walaubagaimanapun, usaha beliau terbantut apabila dibunuh oleh seorang hamba.Beliau kemudiaannya diganti oleh anaknya, Sultan Nuruddin Zangi.

Nama sebenar Salahuddin adalah Yusuf. Bapanya bernama Najmuddin Ayyub. Beliau dilahirkan pada 543H, 1138M di Tikrit, Iraq. Tikrit juga tempat kelahiran bekas presiden Iraq, Saddam Hussein. Sejak kecil Salahuddin diasuh oleh bapa saudaranya Asaduddin Shirkoh. Beliau diasuh dengan ilmu ketenteraan oleh bapa saudaranya dan diasuh dengan ilmu agama oleh bapanya.Bapa Salahuddin bekerja sebagai gabenor di Tikrit dan bapa saudaranya sebagai panglima tentera.

Semasa Mesir diancam serangan Tentera Salib, Sultan Nurruddin menghantar pasukan tentera bagi membantu tentera di Mesir. Panglima Asaduddin dan Salahuddin menyertai pasukan ini walaupun Salahuddin keberatan untuk meninggalkan Kota Aleppo. Ketika Tentera Salib menakluki Mesir, para penduduknya dibunuh dan para wanita diperkosa. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Syawur telah menerima rasuah daripada Tentera Salib supaya membiarkan Mesir ditakluki Tentera Salib. Syawur memberi cuti kepada para tentera dengan alasan agar menjaga keluarga masing-masing.Khalifah di Mesir ketika itu Khalifah Al-Adhid terkejut. Khalifah menitahkan agar Mesir dan Kota Fustat dipertahankan. Namun, Syawur tidak menurut perintah, malah, beliau menyuruh seluruh penduduk Kota Fustat meninggalkan kota tersebut untuk dibakar daripada ditawan Tentera Salib. Khalifah kecewa dengan tindakan ini.

Apabila pasukan tentera Asaduddin Shirkoh tiba, Tentera Salib sudah tiada kerana mereka menyangka tentera pimpinan Asaduddin tidak akan lama di Mesir dan akan merampas semula Mesir. Oleh sebab kejayaan membebaskan Mesir, Asaduddin dilantik oleh Khalifah Al-Adhid menjadi perdana menteri Mesir. Syawur berjaya dibunuh oleh Salahuddin dalam satu serbuan di rumahnya. Selepas Perdana Menteri Asaduddin Shirkoh meninggal, Salahuddin diangkat Khalifah menjadi Perdana Menteri Mesir yang baru.

Selepas kemangkatan Khalifah Al-Adhid, Salahuddin telah dilantik menjadi Khalifah. Pelantikan ini tidak dipersetujui oleh bekas-bekas pembesar yang berfahaman Syiah yang dipecat Salahuddin. Setelah menjadi sultan, semangat Salahuddin untuk berjihad semakin tinggi.

Satu ketika, Sultan Salahuddin menakluki Kota Tabariyyah. Selepas itu, pihak Tentera Salib mendapat tahu Sultan Salahuddin sudah meninggalkan Kota Tabariyyah. Pemimpin Tentera Salib mengerahkan tentera agar menuju ke Kota Tabriyyah dan meninggalkan kosong Kota Safariyyah. Namun, tentera Islam sebenarnya memasang perangkap dan mereka menuju ke Safariyyah dan memusnahkan kubu di kota tersebut. Ini membuatkan Tentera Salib tiada pilihan melainkan berperang dengan tentera Salahuddin. Tentera Salib yang berjalan di padang pasir telah kehabisan bekalan. Mereka keletihan, kehausan, dan kelaparan. Mereka terpaksa berperang dalam keadaan-keadaan ini. Maka, peperangan pun terjadi. Peperangan ini dinamakan Peperangan Hittin kerana berlaku di Bukit Hittin pada 24 Rabiul Akhir, 583H. Tentera Salib tewas dalam peperangan ini dan mayat-mayat mereka dimakan oleh burung-burung buas.

Kemenangan di medan Hittin menyemarakkan lagi semangat Sultan Salahuddin untuk menakluk Jerusalem. Selepas itu, penaklukan Jerusalem dilakukan. Kedua-dua pihak berperang bermat-matian. Pada 27 Rejab 538H, Sultan Salahuddin berjaya memasuki Kota Jerusalem. Ini menandakan kemenangan Islam ke atas Jerusalem.

***************************************

Begitulah sedikit sebanyak sejarah Salahuddin Al-Ayyubi...SK

***************************************

Rujukan yang saya gunakan adalah 2 buah buku di bawah ini dan juga filen Kingdom of Heaven. Buku yang berbahasa Inggeris itu mengandungi104 muka tetapi harganya agak mahal kerana ia adalah buku impot.

0 comments: