Uthmani - 1 - Pengenalan

Friday, November 7, 2008
Kerajaan Uthmaniyyah adalah salah satu kerajaan Islam yang paling unggul pernah wujud di muka bumi ini. Sejarah telah mencatatkan betapa hebatnya kerajaan Islam ini dengan dipimpin oleh para pemimpin yang bertaqwa. Para pemimpin tersebut telah memimpin dengan penuh bijaksana sehingga dapat menakluk sebahagian besar daripada negara yang wujud dimuka bumi ini pada ketika itu. Antara tokoh yang terkenal dalam lipatan sejarah Kekhalifan Uthmaniyyah adalah Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah menakluk Kota Constantinople. Tokoh-tokoh yang lain pula adalah Sultan Sulaiman Qanuni, Sultan Bayazid 1 & 2, Sultan Salim 1 dan ramai lagi. Kepimpinan kerajaan ini dibantu oleh Syeikh Bayram dan anak muridnya Syeikh Syamsudin Al-Wali yang bertindak sebagai ulama. Selain itu kerajaan ini dibantu oleh Khairuddin Barbarosa, Qalj Ali dan ramai lagi. Kehebatan Kerajaan Islam Uthmaniyyah menjadikan ia sebuah kerajaan yang disegani dan ditakuti musuh Islam yang sekian lama menaruh dendam dan benci terhadap Islam. Namun, setelah beberapa lama memerintah, kerajaan ini mula meruntuh disebabkan tipu daya musuh-musuh Islam dan jauhnya hati para pemimpin daripada Tuhan. Salah seorang yang menjadi penyebab hancurnya Kerajaan Uthmaniyyah adalah Mustafa Kamal At-Turk.

Kerajaan Islam Uthmaniyyah bermula daripada terbentuknya Kerajaan Saljuk yang berpusat di Kota Baghdad di Iraq. Kerajaan Saljuk meliputi wilayah Khurasan, Turkistan, Iran, Iraq, Syam, dan Asia Tengah. Kerajaan Saljuk pernah diserang dan dikalahkan oleh tentera Mongol yang diketuai oleh Gengis Khan.  Apabila Kerajaan Saljuk pimpinan Sultan Alaudin berperang dengan tentera Rom, sebuah kabilah Turki di bawah pimpinan Ertoghul telah menyebelahi Sultan dan berjaya mengalahkan tentera Rom. Sebagai pembalasan, Sultan Alauddin menganugerahkan sebuah wilayah di sebelah barat Anatolia kepada Ertoghul untuk diperintah. Setelah Ertoghul mangkat, beliau digantikan dengan anaknya yang bernama Uthman. Sultan Uthman memerintah dengan bijak dan berjaya menakluki kawasan sekitar wilayahnya atas perkenan Sultan Aluddin. Pada tahun 1300 Kerajaan Saljuk telah diserang oleh tentera Mongol sekali lagi. Kemudian is disusuli oleh kemangkatan Sultan Alauddin dan menyebabkan kerajaanya berpecah-belah. Oleh itu, Sultan Uthman berusaha untuk menyatukan semula wilayah-wilayah yang telah berpecah itu. Kekejaman tentera Mongol telah digambarkan oleh Ibnu Kathir dalam riwayatnya:

"Mereka datang menyerbu Baghdad, membunuh sesiapa saja yang boleh mereka bunuh, baik lelaki , wanita, kanak-kanak, orang tua, dan remaja. Oleh sebab ketakutan, banyak orang telah bersembunyi di  dalam  perigi, tempat-tempat binatang buas, tempat-tempat kotor atau mereka langsung tidak berani keluar dari rumah. Terdapat sebahagian daripada mereka bersembunyi di dalam kedai dan menutup pintu. Namun, pasukan Mongol membuka pintu dengan  kekerasan, baik dengan cara memecahkan ataupun dengan membakar. Kemudian mereka masuk ke dalam kedai-kedai tersebut dan menyeret orang-orang yang bersembunyi ke atas bumbung rumah dan dibunuh sehingga mengalirkan darah yang deras. Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un. Begitu juga orang-orang yang bersembunyi di dalam masjid, tempat-tempat pertemuan semuanya dibunuh. Tiada yang selamat kecuali dari kalangan Ahli Dzimmah, iaitu orang-orang Yahudi dan Kristien serta orang-orang yang meminta perlindungan daripada mereka."

Setelah kemangkatan Sultan Uthman, baginda digantikan dengan anaknya Sultan Orkhan bin Uthman. Sultan Orkhan telah menjadikan Bursa sebagai pusat pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah dan membentuk sebuah angkatan tentera bergelar Al-Inkisyariyyah atau di barat disebut sebagai Jannissary. Selama baginda memerintah, jajahan takluk telah diluaskan meliputi Nicomedia, Nice, dan beberapa negeri Asia. Para Sultan yang mendukung Kerajaan Uthmaniyyah setelah kemangkatan Sultan Orkhan adalah Sultan Murad I, Sultan Bayazid I, Sultan Muhammad II, Sultan Murad II, Sultan Muhammad Al-Fateh (Muhammad The Conquerer), Sultan Bayazid II, Sultan Salim II, Sultan Sulaiman Qanuni ( Sulaiman The Magnificient),  Sultan Salim II, Sultan Murad III, Sultan Muhammad Khan III, Sultan Ahmad I dan ramai lagi.

Begitulah sejarah ringkas permulaan Kerajaan Uthmaniyyah....SK

0 comments: