Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Pintu Hati

Thursday, April 29, 2010
Ya Allah, bukakanlah pintu hatiku untuk menerima lebih banyak hidayah-Mu~


Sinaran Cahaya

Tuesday, April 6, 2010
Pagi di tepi blok, sinaran cahaya agak menarik. Menatapi alam ciptaan Allah, ia menunjukkan kebesaran kekuasaanNya mencipta makhluk. Dari sinar cahaya itu juga, kita mengharapkan agar iman di dada kita secerah atau pun lebih cerah daripada itu. Sinar cahaya iman boleh dilihat dari wajah seseorang itu bagi yang berupaya melihatnya. Mata kasar tidak mampu menilai, mata hati yang suci InsyaAllah mampu melihat cahaya itu...SK

Iye? Isk, isk, isk...

Sunday, December 14, 2008
Setiap insan yang sempurna dikurniakan anggota badan yang lengkap. Akal yang sempurna digunakan sebagai pemandu dalam menggunakan semua pemberian Allah ini. Sekiranya kita dikurniakan semua ini, maka, bersyukurlah kerana Allah akan menambahkan ni'mat-Nya bagi hamba-hamba-Nya yang bersyukur dan mengazab mereka yang kufur akan ni'mat-ni'mat-Nya. Akan tetapi, sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan dosa-dosa, ramai manusia sering kali menyalahgunakan ni'mat pemberian Allah ini. Mereka lalai dan hanyut dalam godaan syaitan yang menguasai hati.

Sebagai contoh, pencuri menggunakan tangan untuk mencuri barangan di kedai. Sekumpulan lelaki melepak di pinggir jalan dan memerhatikan setiap wanita yang melewati mereka. Kaki digunakan menuju ke kelab malam untuk berdansa. Telinga digunakan untuk mendengar perkara-perkara yang tidak senonoh. Mulut digunakan untuk menyebarkan fitnah di merata tempat.

Kak Ton: Eh, Milah. Ko ade dengar x si Senah anak si Leman Tempe ujung kampung tu berdua-duaan dengan Jiman dekat kebun pisang Wak Seman malam. Diorang kene tangkap basah!

Milah: Iye? Isk, isk, isk...

Kak Ton: Iye Milah. Aku x tipu. Aku sendiri dengar daripada si Timah. Terok betol Senah dengan Jiman tu. Buat malu org kg je. Aku rs nk tempeleng je diorang berdua tu! Memalukan!

Milah: Iye? Isk, isk, isk...

Kak Ton: Aku bukan ape, org mcm diorang ptt nye kite halau je dr kg ni. Aku malu jd org kg ni, aku malu tau x?!

Milah: Iye? Isk, isk, isk...

Kak Ton: Ko ni Milah, dr td asek isk3 je. Geram betol. Penat mulut aku ni ckp.

Milah: Saye bkn ape Kak Ton. Kak Ton kate Kak Ton cume dgr dr org je. Saye nk percaye pon ssh. Baik Kak Ton check dulu. X baik mengumpat. Allah x suke, nnt msk neraka.

Kak Ton: Iye? Isk, isk, isk...

Begitulah ceritanya mengumpat. Senang-senang saja Kak Ton mendapat dosa kering. Oleh itu, jagalah lidah kita daripada mengumpat. Orang kata, terlajak perahu, boleh diundur, terlajak kata, badan binasa. Kita perlu ingat, di Hari Pembalasan nanti, tiada siapa yang boleh menyelamatkan kita. Mulut terkunci rapat. Anggota badan menjadi saksi segala tindak-tanduk kita di dunia ini. Kalau ada yang terasa dengan entry ini, saya minta maaf. Saya hanya menasihatkan diri ini dan kalian semua agar merenung kembali segala amal perbuatan kita. Setiap amal perbuatan kita walau sebesar zarah akan dihitung oleh Allah yang Maha `Adil.

"Setiap yang bernyawa itu akan merasai kematian,dan sesungguhnya semua akan di perhitungkan di hari kiamat.Barang siapa yang di selamatkan dari api neraka kemudian dia di masukan ke dalam syurga,maka itulah kemenangan yang sebenarnya dan tidaklah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang memperdaya"

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Jagalah iman, jagalah amalan. Moga-moga kita berjaya di dunia dan akhirat.

SAKSI :- Mawi feat Rabbani

Saat dan waktu
Semasa hidupmu
Apa yang dilaku
Apa amalanmu

Jangan kita lupa
Dia ketahuinya
Jangan kita leka
Segala dihitungnya

Dunia sementara
Sandiwara semata
Kembali padanya
Akhirat disisinya

Hidup penuh dosa
Tiada pasti nilainya
Syurga dan neraka
Kan kita terimanya

Tangan berkata
Apa dilakunya
Kaki bicara
Kemana ia melangkah

Mata bersuara
Apa pandangannya
Telinga bercerita
Apa yang didengar

* Tiba detik masa
Mulut tak dibuka
Tiada berkata
Hanya kan mendengar
Mulut bersuara
Saksi berbicara

Amalan semata…

Sujudlah kepadanya
Ampun segala dosa
Tiada yang berkuasa
Hanya Maha Esa

Rapuh

Tuesday, October 14, 2008
Kehidupan di dunia menjanjikan pelbagai sajian nikmat kurniaan Tuhan Semesta Alam yang tidak terhingga banyaknya. Walaubagaimanapun, nikmat dunia itu bukanlah sesuatu yang kekal abadi tetapi nikmat syurga itulah yang kekal abadi. Ini tidak bermaksud kita perlu untuk mengabaikan dunia untuk akhirat tetapi kita memerlukan dunia sebagai wasilah untuk menuju keakhirat. Malah, kita disuruh untuk mensyukuri segala nikmat pemberian Tuhan. Allah berfirman:

"Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada Nya." - (Surah an-Nahl, ayat 144)

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." (Surah Ibrahim 14 : 7)
Sabda Nabi:

 "Siapa yang tidak bersyukur dengan benda yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan benda yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."

(Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad pada bab Awal Musnad Ahli Kufah: Baki Hadis al-Nu'man bin Basyir r.a.)

Namun begitu, sifat manusia yang suka mengikut hawa nafsu telah menyebabkan kita lupa untuk mensyukuri nikmat-nikmat Allah ini dan berlebih-lebihan dalam perkara dunia. Kebanyakan kita sering lalai dan tertipu dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan tipu daya ini. Ini menyebabkan kebanyakan manusia lemas dalam arus dunia.
Saya memberi contoh seperti diri saya sendiri. Saya mengetahui perkara itu salah di sisi Allah. Oleh sebab kealpaan sebagai hamba Allah yang hidup di muka bumi ini, saya tetap melakukan perkara tersebut. Walaupun sudah banyak kali bermunajat memohon taubat, tetap mengulangi perkara yang sama. Di manakah silapnya? Selain itu juga, kadang-kala saya melihat orang lain mempunyai pakaian yang cantik, saya juga ingin pakaian yang cantik. Apabila sudah iri hati, maka pembaziran berlaku untuk perkara yang tidak sepatutnya dibelanjakan. Astaghfirullahal `Azim... Sekali lagi, di manakah silapnya.
Setelah membuat analisis, saya mendapati mungkin iman saya terlalu rapuh untuk menghadapi semua ujian ini. Padahal, seperti mana yang diketahui, Tuhan tidak akan membebankan hamba-hambanya dengan sesuatu yang tidak tertanggung. Allah berfirman:

"Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya..." (Surah Al-Baqarah, Ayat: 286)

Oleh itu, saya perlu menganalisis dengan lebih terperinci tentang punca-punca kelemahan iman saya. Walaubagaimanapun, saya berdoa kepada Allah ditetapkan iman dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran ini. Saya berdoa juga supaya dijauhkan daripada dosa-dosa besar.

Kita perlu mengetahui, iman yang sangat rapuh akan mejerumuskan diri ke lembah maksiat yang besar.  Contohnya, apabila iman lemah, kita akan mudah iri hati. Kemudian kita akan mencari apa jua cara bagi memenuhi kehendak hati seperti mencuri. Jika ada yang lebih teruk, mungkin hingga ke tahap membunuh. Na`uzubillahi Dzalik...
Oleh itu, saya menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, marilah memperbaiki diri dan jika iman kita rapuh, marilah kita kukuhkan bersama. Jangan kita leka dengan nikmat dunia yang sementara dan tidak membawa faedah langsung di akhirat. Gunakan nikmat yang diberi Tuhan sebaik yang mungkin sebagai jalan menuju ke alam yang kekal abadi. Kita perlu kembali kepada tujuan kita hidup di dunia ini, iaitu untuk beribadah kepada Allah. Tuhan tidak mahu melihat berapa banyak harta yang kita kumpul, berapa tinggi pangkat yang kita ada, tetapi Tuhan mahu melihat siapakah amalannya lebih baik. 

Proses pengislahan atau pembaikan diri memerlukan kesabaran yang tinggi. Ia perlu dilakukan berperingkat-peringkat. InsyaAllah dengan berkat kesabaran dan niat yang tulus untuk berubah, pasti akan berjaya. Orang yang beriman tidak akan terbukti imannya selagi dia tidak diuji. Kita mempunyai akal untuk berfikir, maka fikirkanlah kehidupan kita di akhirat kelak. Saya menasihati kita semua agar membetulkan niat dalam kehidupan ini. Semoga Allah memberkati, merahmati, dan memakbulkan hasrat bagi insan yang mahu berubah menjadi yang lebih baik...SK

Sahabat Remajaku...

Thursday, October 9, 2008
Jika diperhatikan pada zaman yang berlalu, kita akan dapati akhlak remaja kian terhakis. Nilai-nilai murni dalam diri kebanyakan remaja seakan-akan sudah hilang bak debu ditiup angin lalu. Remaja melepak sini sana, pelajaran diabai entah ke mana, sifat saling menghormati sudah tiada, hidup terhina makan sampah merata ibarat manusia tiada jiwa dan akal yang sempurna. Itulah realiti kehidupan remaja alaf baru.

Ibu bapa mana yang sayangkan anaknya akan rela membiarkan hidup anak-anaknya menjadi tiada sempurna seperti kapal di tengah lautan luas , tiada hala tuju yang jelas, ditiup taufan dan dilanda ombak beraliran deras. Oleh sebab itu, walaupun ibu bapa itu tidak mampu menghantar anak-anaknya ke sekolah bagi membina jati diri yang lebih mantap, mereka akan memastikan anak-anaknya terdidik dengan akhlak dan tingkah-laku mulia. Mungkin ibu dan bapa mereka ini beranggapan, biar papa akan harta, asal hidup berakhlak mulia. Bagi remaja yang hidup serba mewah, ibu bapa tidak punya masa yang banyak untuk menghabiskan masa bersama mereka kerana sibuk bekerja. Memanglah kadang-kadang kita menyatakan kerenggangan ibu bapa bersama anak-anak itu salah satu punca tertancapnya masalah sosial dalam masyarakat tetapi, seorang manusia, iaitu remaja khususnya, yang diberi pendidikan di sekolah sepatutnya boleh berfikir akan baik buruknya sesuatu perkara.

Hati remaja mana yang tidak teruja dengan hiburan-hiburan yang terhidang di hadapan mata dewasa ini? Gangstarz, Mentor, Malaysian Idol, dan lain-lain rancangan realiti televisyen yang tumbuh ibarat tumbuhnya cendawan setelah hujan berlalu ini yang menjadi kegilaan mereka. Budaya hedonisme ini semakin berakar-umbi di dalam jiwa muda-mudi masa kini. Malah, kanak-kanak bawah umur sudah terikut-ikut dengan budaya seperti ini. Kalaulah kanak-kanak pun sudah diracun fikirannya dengan budaya hedonisme, bagaimana keadaannya apabila sudah dewasa? Apakah ini peranan media massa bagi membentuk remaja berkualiti? Apakah para remaja ini tidak tahu memilih hiburan yang sesuai?

Secara dasarnya, bagi saya, Islam Hadhari adalah satu pendekatan yang bagus dalam memberi nafas baru pada ruh Islam yang kian luntur di atas muka bumi ini, khususnya di Malaysia. Saya bukanlah mahu menentang usaha-usaha kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan. Kita melihat Masjid Kristal sebagai contoh sebagai salah satu mercu tanda Islam Hadhari. Memang tidak dinafikan ia sangat indah tetapi, pada pendapat saya, apalah kiranya jika wang yang digunakan untuk membina masjid itu disalurkan bagi membentuk modal insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Pembinaan masjid yang indah tetapi tiada orang meng`imarahkannya adalah suatu yang sia-sia. Melihat pada situasi sekarang, kita perlu bijak mempertimbang perkara yang perlu diutamakan. Kemajuan dari segi fizikal tidak akan membantu bagi membentuk insan dari sudut rohaniah sekiranya kemajuan itu tidak diiringi dengan pengisian yang secukupnya.

Islam itu indah. Islam itu cukup sempurna. Islam itu adalah cara hidup yang sebenar bagi umatnya. Al-Quran diturunkan sebagai pedoman bagi setiap insan dan ia turun diiring dengan As-Sunnah sebagai pelengkap. Sesiapa yang berpegang teguh dengan dua tinggalan keramat ini, pasti hidupnya selamat di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad telah pun bersabda tentang perlunya berpegang pada dua tinggalan keramat ini.

Kepada remaja-remaja, kalaulah dikaji akhlak Nabi Muhammad, sangat indah. Nabi bersabda,
" Sesungguhnya Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak." Sesuai dengan firman Allah: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada akhlak yang baik dan agung "(QS 68:4). Pada ayat lain Allah berfirma, "Sesungguhnya dalam diri Rasulullah ada suri teladan yang baik bagi kaum (yaitu bagi siapa yang mengharap [rahmat] Allah dan [kebahagian] hari akhirat dan banyak menyebut nama Allah" [QS 33:21]). Ada segelintir yang menyatakan, "Aku bukan Nabi." Memang benar kita semua ini bukan nabi. Selepas wafatnya Nabi Muhammad, tiada lagi nabi dan rasul yang diutus Allah. Kalau ada, sah itu adalah orang yang telah terpesong aqidahnya. Cuba kita renungkan kembali, Rasul diutus untuk menyampaikan risalah Tuhan di muka bumi kepada umat manusia ke jalan yang lurus. dan semua itu bukan disampaikan dengan sia-sia. Manusia juga dikurnia akal fikiran yang sempurna untuk berfikir. Jadi, mengapa dengan akal yang ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya untuk berfikir tentang perkara ini?

Wahai sekalian saudaraku seagama Islam, khususnya para remaja, marilah kita sucikan hati dengan bertaubat. Marilah bersama mencuci tidak noda yang bersemadi di hati kita semua agar kita dapat melihat kebenaran risalah Tuhan yang telah disampaikan kepada kita semua dari Rasul-Nya. Ingatlah bahawa, biarlah mungkin kita buta mata, tetapi jangan buta hati!...SK

Ayuh para remaja, suburkan jiwa dengan zikrullah, nyalakan semangat jihad menentang hawa nafsu yang bergejolak di dalam hati, sematkan rasa rindu akan syurga Allah. Tatapilah sejarah para Nabi, para Rasul, para sahabat, dan para tabiin sebagai idola dalam kehidupan. InsyaAllah, akan dipermudah mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini...