Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Permata

Sunday, April 12, 2009
Permata adalah sesuatu yang sangat berharga. Kalau kita memilikinya, sudah tentu ia akan dijaga dengan begitu baik. Anak-anak juga boleh dianalogikan seperti permata. Mereka perlu dijaga dan diasuh dengan didikan yang sempurna berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah. Didikan yang sempurna akan menjadikan anak-anak itu soleh dan solehah. Perkara yang paling penting adalah mendidik anak dengan aqidah yang benar. Rasulullah bersabda,

Daripada Ibnu Abbas r.a. dari Rasulullah S.A.W. bahasanya baginda bersabda, "Ajarkanlah kepada anak-anak kalian pertama dengan kalimah La Ilaha Illallah."

(Riwayat Al-Hakim)

Selain itu, terdapat juga beberapa panduan dalam mendidik anak:

1. Bersikap jujur.
Ibu bapa perlu mendidik anak bersikap jujur. Abu Daud dan Al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a., berkata:

Pada suatu hari ibuku memanggilku dan Rasulullah S.A.W. sedang bertamu di rumah kami. Berkatalah ibuku,"Wahai Abdullah, ke sinilah nanti aku beri." Maka berkatalah Rasulullah S.A.W. kepada ibuku, "Apa yang hendak engkau beri kepadanya?" "Saya hendak memberikan kurma kepadanya," kata ibuku. Rasulullah berkata, "Jika engkau tidak memberikan sesuatu kepadanya, maka tertulislah engkau sebagai pendusta."

2. Berlaku `adil.
Dalam riwayat Muttafaqun Alaih daripada An-Nu'man bin Basyir r.a. bahawa ayahnya membawa kepada Rasulullah dan berkata,

"Aku telah memberikan hadiah kepada anakku ini berupa seorang budak laki-laki." Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya, "Apakah semua anak-anakmu kamu berikan hadiah seperti dia?" Ia menjawab, "Tidak." Lalu beliau berkata, "Kalau begitu, ambil kembali hadiah itu."

3. Bersikap pengasih
Aisyah r.a. berkata,

"Rasulullah mencium Hassan dan Hussain, putera Ali bin Abi Talib r.a. dan pada waktu itu ada bersama Rasulullah Al-`Aqra bin Habis At-Tamimi. Al-'Aqra berkata, "Saya mempunyai 10 orang anak. Tidak satu pun yang pernah saya cium." Maka Rasulullah memandang kepadanya dan bersabda, "Barang siapa yang tidak berkasih sayang, maka ia tidak akan mendapatkan kasih sayang."

Banyak lagi cara mendidik anak dan ini hanyalah secebis daripadanya...SK

** rujukan: Majalah i dan website.


Harapan Pada Ayah Ibu - Unic


Wahai ibuku wahai ayahku
Didiklah kami semua
Ajarlah kami asuhlah kami
Mengenal tuhan Yang Esa

Bantulah kami hidup akhirat
Hidup akhirat yang lebih utama
Sedarkanlah kami
Akan tipu daya dunia

Bimbinglah kami asuhlah kami
dengan penuh kasih sayang
Segala apa kesalahan kami
Dibetulkan dengan bijaksana

Perkataan maki harus jangan digunakan
Kerana ia menyalahi sunnah rasul mulia

Tunjukkanlah kami dengan akhlak mulia
Agar mudah kami mencontohinya
Jangan macam ketam yang berjalan bengkok
Ia mengajar anaknya berjalan lurus

Wahi ibuku wahai ayahku kasihanilah kami
Bimbinglah kami mengikut cara sunnah nabi
Janganlah kami dididik secara yang rugi
Kami akan rugi di dunia dan di akhirat

*
Kenalkanlah kami hidup di dunia yang menipu
Asuhilah kami cintai akhirat yang abadi
Akhirat utama dari dunia yang fana
Dunia menipu merosakkan manusia

Itulah harapan kami kepada ayah dan ibu
Ayah ibu janganlah kau berkecil hati
Kami memohon ribuan ampun dan maaf padamu
Disertakan doa kesejahteraan kepadamu ayah dan ibu

(Ulang dari *)

Itulah harapan kami pada ayah dan ibu
Itulah harapan kami ayah ibu

Kawen Lagi!

Saturday, April 11, 2009
Kehidupan berumah tangga tiada erti sekiranya ia dicemari dengan unsur-unsur yang negatif seperti penderaan, penderhakaan, ketidakserasian, keegoan, dan sebagainya. Kali ini, saya ingin berkongsi ciri-ciri rumah tangga teladan. Walaupun masih lama lagi saya mahu berkahwin tetapi tidak salah sekiranya ingin berkongsi... Hehe...

1. Rumah tangga yang dibina atas dasar ketaqwaan kepada Allah dan meharapkan keredhaan-Nya.
Oleh itu, Al-Quran dan As-Sunnah perlu dijadikan rujukan dalam menjalani kehidupan berumah tangga dan menjadikan kedua-duanya sebagai hakim dalam menyelesaikan masalah rumah tangga.

2. Ahli-ahlinya sentiasa bertolak-ansur dan bersikap sederhana dalam segala masalah.
Ini semua termasuklah dalam perkara harta benda dan perasaan.

3. Bersikap berlapang dada atau bersederhana dari segi kebendaan.
Sikap berlebih-lebihan dari aspek duniawi perlu dihindarkan supaya pembaziran tidak berlaku. Allah berfirman,

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

4. Berfikir dengan penuh pertimbangan dan rasional.
Ahli-ahli di dalam rumah sentiasa menjauhi perkara-perkara yang samar dan dangkal. Oleh itu, mereka perlu berfikir secara mendalam dan dapat menyelesaikan sesuatu masalah.

5. Penghuninya suka kepada kebersihan.
Sebagaimana yang kita ketahui, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Rasulullah bersabda,

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah
bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur'an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.

Hadis riwayat al-lmam Muslim.


6. Ditegakkan di atas sendi yang kukuh.
Maksudnya, ia ditegakkan di atas sakinah ( ketenangan), mawaddah (cinta), dan rahmah (kasih-sayang). Oleh itu, keluarga yang bahagia akan terbentuk dan suasananya jauh daripada hingar-bingar dan sebagainya.

7. Menghiasi wajah dengan senyuman.
Senyuman yang ikhlas dan kene pada tempatnya akan menghasilkan kesan mendalam di dalam hati orang yang menerima. Rasulullah bersabda,

Tersenyumlah engkau ke waja saudaramu, kerana senyuman itu adalah sedekah bagimu.

8. Memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan.
Rasulullah bersabda,

“Perintahkanlah anakmu melakukan solat apabila usianya tujuh tahun. Dan pukullah mereka (bila mereka melalaikannya) apabila usianya sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka (lelaki dan perempuan).” (Riwayat at-Tirmizi)

9. Ahli-ahlinya saling membantu antara satu sama lain.
Mereka saling bertolongan dalam melakukan sesuatu perkara supaya menjadi mudah dan ia dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

10. Tempat mendidik anak-anak.
Keluarga adalah satu institusi yang penting dalam mendidik anak-anak dengan didikan yang sempurna berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia melibatkan didikan jasmani dan rohani. Keluarga yang bahagia mampu membentuk anak yang soleh dan solehah dengan didikan agama yang sempurna...SK

*** Entry ini saya merujuk kepada Majalah i edisi Mac 2009.

Ubat

Friday, December 12, 2008
Meniti arus kehidupan, bukanlah sesuatu yang mudah. Saban hari kita diuji dengan pelbagai cubaan. Ujian itu datang daripada Allah mengikut tahap kemampuan masing-masing. Bagi yang mempunyai hati yang cekal, pastinya setiap ujian yang datang itu dapat di atasi dengan sebaik yang mungkin. Allah berfirman,

"...seseorang itu tidak dibebani melainkan apa yang mampu baginya..."

Firmannya lagi,

"...manusia itu tidak dikatakan beriman selagi mana ia tidak diuji."

Bagi yang tidak cekal, maka, mereka akan menghadapi masalah dalam menangani segala ujian yang tertimpa ke atas mereka. Sejak kebelakangan ini, saya rasa seperti banyak ujian yang menimpa diri ini. Di sini, saya ingin berkongsi bagaimana cara-caranya saya mengubati kesedihan.

1. Berzikir.
Allah berfirman,
" Ketahuilah dengan berzikir itu hati akan menjadi tenang."

Kaedah ini adalah antara kaedah yang paling mudah. Jika dihayati ketika berzikir itu, ianya memang mujarab. Bagi saya yang pernah melakukannya, ia perlu dilakukan dengan penuh kesabaran dan berulang-ulang. Membaca Al-Quran pun sesuatu yang bagus untuk menangkis segala taufan kesedihan yang melanda diri.

2. Solat
Solat ini juga boleh dikatakan zikir juga. Antara solat yang selalu saya lakukan adalah solat hajat. Apabila saya bersedih, saya akan bermohon kepada Allah agar dikurniakan hati yang cekal dalam menempuh segala dugaan. Dr. `Aidh Abdullah Al-Qarni, dalam karyanya `Laa Tahzan` menyatakan bahawa apabila kita bersedih, hendaklah bertandang ke masjid dengan bersujud kepadanya. InsyaAllah, hati yang berada di dalam suasana duka dan pilu akan diberi semula kekuatan. Solat taubat juga bagus bagi menghapus setiap noda hitam yang bertakhta di hati.

3. Berkongsi masalah
Bagi saya, kaedah ini juga sesuatu bagus, walaupun kadang-kala rasa menyusahkan orang. Tetapi, bagi mereka yang sudi mendengar dan melapangkan secebis masa yang terluang untuk mendengar masalah saya, seinfiniti terima kasih diucapkan.

Sebenarnya banyak lagi kaedah merawati hati yang dirundung kesedihan. Bagi saya yang mengalami masalah, inilah antara kaedah yang saya lakukan. Saya tidak akan membiarkan hati ini diliputi awan kegelapan yang mana tidak terdapatnya sinaran mentari yang menerangi kehidupan.

**Kepada-Mu Ya Allah, kebersyukur bertuhankan diri-Mu. Rahmat-Mu luas, kasih sayang-Mu menggunung tinggi.

**Kepada yang pernah membantu, terima kasih yang tidak terhingga. Kalau ada yang rasa jemu, ampun zahir batin saya pinta. Saya hanya insan biasa. Ingin belajar menjadi insan yang lebih cekal dan tabah... Semoga Allah merahmati diri kalian.Aaminn...SK

:: Citra Cinta ::

Wednesday, October 15, 2008
"I love u sayang..." Luah Karman. "I love u too..." balas Jijah.

Ungkapan di atas adalah contoh bagi kebanyakan insan yang bertapak di alam percintaan yang dipenuhi dengan bungan-bunga asmara. Cinta itu adalah fitrah insani yang dikurnia Tuhan kepada makhluknya. Kadang-kala cinta hadir tanpa diundang. Apabila cinta bertandang, ia sukar ditendang. Hehe...

Jika diperhatikan gelagat insan bercinta di zaman ini, kebiasaannya berlandaskan hawa nafsu semata. Jalan berkepit sini sana, tidak peduli apa orang bicara, berpakaian ketat bak bungkusan nangka, tunggang motor keliling malaysia, asal hidup bahagia bersama. Huhu... Cinta yang tidak dibatasi dengan iman dan niat yang tidak betul, beginilah hasilnya. 

Berkenaan lafaz cinta yang diungkap bagi pasangan yang dilamun cinta melalui SMS, internet atau surat secara fizikalnya tidaklah salah. Mungkin niat asal hanya ingin meluahkan rasa sahaja. Namun, apakah jaminannya ia dapat mencegah diri daripada melakukan maksiat tatkala bercinta? Hurm... bukan mudah untuk menahan nafsu tatkala iman rapuh bak kayu yang telah reput. 

Saya ingin memetik salah satu panduan atau contoh yang diberikan oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Sekiranya ada seorang wanita yang ingin menyuarakan hasrat hati bahawa dia menyukai seorang lelaki, dia boleh melakukan 'tempahan' terhadap lelaki tersebut. Bagi tujuan ini, pinangan perlu dilakukan. Namun, bagi budaya melayu, ia ibarat perigi mencari timba walhal dalam Islam kaedah ini tiada salahnya. Saya pun mahu melihat kalau-kalau ada wanita yang ingin berbuat demikian. Mungkin saya tidak akan menerima tetapi apa yang saya mahu lihat adalah perigi mencari timba. Hehehehehe.... Salah satu  panduan yang lain adalah, Sabda Nabi SAW:

"Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terdapat 4 elemen untuk menyunting bunga di taman larangan dan elemen yang paling penting sekali adalah pegangan agamanya. Apalah maknanya jika rupa yang cantiktetapi berakhlak syaitan, apalah gunanya berharta mewah tetapi papa budipekerti, tiadalah maknanya berketurunan mulia hanya untuk berbangga-bangga...

Bagaimana pasangan pilihan anda? Boleh dikongsikan bersama. Wanita pilihan saya adalah, sudah tentu yang paling utama agamanya kerana, "...nescaya sejahtera hidupmu”. Senantiasa taat akan perintah Allah setiap masa dan setiap ketika. Selain itu, senang hati mata memandang. Tidak kisah rupanya bagaimana. Dia juga boleh menerima diri saya seadanya dan senantiasa menegur saya jika terdapat sesuatu tidak sepatutnya saya lakukan. Di samping itu, dia boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu dengan baik dalam apa jua keadaan apabila sudah berkahwin. Senantiasa memberi sokongan pada suami selagi si suami tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Begitulah lebih kurangnya pilihan hati saya. Hehe... Tapi... siapakah wanita yang bertuah ini? Adakah anda? Ahahaha...

Soal memilih jodoh yang ideal dalam hidup ini sangat penting kerana ia akan menentukan kebahagiaan rumah tangga seseorang. Walaubagaimanapun, memilih itu biarlah berpada-pada kerana tiada insan biasa yang sempurna di dunia ini. Apa yang boleh dilakukan adalah pasangan yang berumah tangga adalah saling membantu dalam memperbaiki kelemahan masing. Hmm... macam hebat sangat pula nak cerita benda-benda ini. Ahahaha...

Cinta yang paling agung adalah cinta kita terhadap Al-Khaliq. Jika kita mencintainya, cinta itu akan terus bersemi sampai bila-bila. Apabila kita mencintai-Nya, segala suruhannya akan kita lakukan dengan bersungguh-sungguh. Kadang-kala kita mendengar apabila pasangan bercinta bermadah,

"Akan kurenang lautan berapi demi cintaku padamu" 
"Biarpun jasadku hancur dikandung tanah, namun cintaku padamu tetap bersemi selamanya"

Walaupun hakikatnya tidak akan sanggup untuk berenang lautan berapi sedangkan terkena bara api pun tidak tertahan. Huhu... Oleh itu, marilah sematkan di dalam hati kita perasaan cinta akan Allah yang bersifat kekal...SK 

"Cinta pada bunga, kan layu akhirnya,
Cinta pada harta, kelak kan musnah binasa,
Akhirnya...
Cinta pada manusia, takkan kekal selamanya,
Cinta Ilahi, tulus suci dan abadi,
Harum mewangi...."

Malaysia dan Politik Semasa

Friday, October 10, 2008
8 Mac 2008, selepas solat isyak, saya pergi ke bilik kawan saya untuk menonton Tv3. Ketika itu hari sabtu, bukan mahu menonton Majalah 3, tetapi siaran langsung keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) Malaysia. Pada saya, inilah antara keputusan PRU yang paling menarik pernah saya saksikan di televisyen. Walaubagaimanapun, saya juga mengikuti keputusan PRU yang tidak rasmi di laman web Malaysiakini.com. Banyak keputusan yang yang tidak dijangka telah terhasil. Oleh sebab mengantuk, saya menonton tv hingga tertidur dan bangun semula. Walaupun siaran tamat pada pukul 3, tetapi keputusan penuh PRU 12 belum sempurna. Pada keesokan harinya saya mengikuti perkembangan PRU 12 di internet.

Keputusan yang boleh dikatakan menarik sepanjang perjalanan PRU di Malaysia. Tsunami politik telah berlaku di mana 5 negeri telah ditawan oleh parti pembangkang atas nama Pakatan Rakyat (PR). Ia mengakibatkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti 2/3. Terdapat parti-parti komponen BN yang hampir kalah di semua kerusi dan ada juga yang kalah dalam semua kerusi yang ditandingi.

7 bulan sudah berlalu selepas PRU 12 berakhir. Dengan 82 orang pembangkang yang menduduki kerusi parlimen daripada 222 kerusi, ia menjadi satu sejarah yang terukir dalam perjalanan sejarah Malaysia. Namun, kita menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang tempoh 7 bulan ini. Saya tidak tahu apa lagi perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai rakyat Malaysia, saya mengharapkan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan sejahtera dengan limpahan rahmat dan berkat daripada Allah Ta'ala.

Risau betul mengenang masa depan yang tidak siapa ketahui kecuali Allah... huhu...SK

Emas Hitam

Emas hitam boleh juga dirujuk sebagai minyak. Bukan minyak gamat, minyak urut, minyak sapi, minyak bijan, dan sebagainya tetapi yang dimaksudkan adalah minyak yang terhasil daripada galian petroleum. Mengapa emas hitam? Kerana minyak adalah antara benda yang sangat berharga sebagaimana kita tahu betapa berharganya emas. Lebih kurang begitulah analoginya. Suka saya mahu bercerita topik ini sebab saya mengambil kursus kejuruteraan petroleum.

Seperti yang umum ketahui, produk daripada petroleum ini banyak kegunaannya terutamanya petrol dan diesel yang digunakan sebagai bahan bakar bagi kenderaan. Pergi sajalah ke mana-mana pun, semua kenderaan menggunakan produk-produk daripada petroleum ini.

Ketika Jun 2008, harga minyak global hampir mencecah USD150 setong ( 1 tong = 42 gelen = 1.589873 x 10^5 cm^3). Kenaikan harga minyak global ini menyebabkan banyak negara di seluruh dunia menaikkan harga minyak bagi menampung kesan kenaikan harga global ini. Kalau kita melihat Malaysia, kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen/liter atau 40% daripada harga asal ketika itu.

Menurut pengetahuan saya yang tidak seberapa ini, perkembangan industri di China dan India terutamanya berkembang dengan deras mengakibatkan permintaan bahan bakar ini semakin meningkat. Kalau permintaan sudah banyak, maka harga pun naik. Sebab yang lain adalah tersebarnya spekulasi-spekulasi yang negatif tentang sesuatu perkara yang menyebabkan harga minyak melambung. Kadang-kala ia sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan banyak negara terpaksa menaikkan harga minyak domestik dan memberi kesan kepada kadar inflasi di negara masing-masing terutamanya negara-negara yang mundur dan mengalami masalah ekonomi. Sudahlah negara miskin, harga barang naik pula bukan 1 sen, penderitaan datang 'berbesin-besin' . Sungguh kejam mereka yang tamak itu.

Kalau kita melihat senario di Malaysia ketika harga minyak naik mendadak, orang mahu membeli kereta pun fikir banyak kali. Elok-elok mahu beli Persona, terpaksa membeli Kelisa, second-hand pula tu. Ada juga yang beralih ke pengangkutan awam. Kesannya penggunaan pengangkutan awam pun naik mendadak. Apabila harga minyak naik, biasanya satu 'tindakbalas berantai' akan berlaku. Harga barangan lain turut naik... Orang miskin yang selama ini berjimat-cermat pun sudah tidak tahu apa lagi yang perlu dijimatkan. Pinggang-pinggang mereka semakin ramping. Tidak perlu pergi ke spa ataupun menggunakan produk-produk kecantikan. Sangat efektif pula tu.

Saya teringat kata-kata Presiden Petronas, Tan Sri Hassan Merican, terdapat pekerja-pekerja Petronas yang kadang-kadang dipersalahkan atas kenaikan harga minyak. Kasihan... Saya terfikir, inikah nasib saya pada masa akan datang??? Kita perlu tahu, turun naiknya harga minyak domestik bukannya ditentukan oleh Petronas. Petronas hanya diamanahkan untuk mengurus petroleum negara sahaja. Kerajaanlah yang berkuasa menaikkan harga minyak mengikut keadaan semasa kerana dikatakan tidak dapat menampung beban subsidi minyak yang tinggi. Sekiranya subsidi hanya ditumpukan pada minyak sahaja, peruntukan untuk pembangunan, pendidikan, pertanian, dan lain-lain akan berkurangan dan memberi kesan kepada pembangunan negara. Begitulah lebih kurangnya penjelasan kerajaan.

Jadi, kalau kita mahu bukan saja harga minyak terkawal, malah juga barang lain-lain terkawal, kita, terutamanya umat Islam perlulah kembali kepada Ad-dinul Islam. Kembalikan Daulah Islamiyyah supaya kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang berteraskan Islam yang senantiasa membela keadilan sejagat. Walaubagaimanapun, ia bukanlah suatu yang mudah. Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam sekarang adalah kita perlu bersatu hati, hindarkan persengketaan sesama kita yang menyebabkab kita menjadi lemah. Sekarang bukanlah masanya untuk kita perjuangkan hukum-hukum Hudud sebagai contoh. Bukanlah saya ingin menentang hukum-hukum ini kerana ini adalah hukum daripada Allah Rab Sekalian Alam. Apa yang perlu diutamakan pada waktu ini adalah dengan memberi kefahaman tentang Islam dengan sebaik-baiknya sama ada untuk umat Islam itu sendiri ataupun kepada bukan Islam juga. Ini untuk mengelakkan fitnah dan juga salah tanggap tentang Islam... Begitulah lebih kurangnya pendapat Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam nukilannya Fiqh Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan)...SK

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya." (QS 3:103)